Pulau Pinang catat pelaburan pembuatan RM6.7 bilion Q1 2025, cermin keyakinan pelabur

Admin
img 20250623 wa0025

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM6.7 bilion bagi suku pertama (Q1) tahun 2025 berdasarkan walaupun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, khasnya pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa angka tersebut adalah berdasarkan laporan pelaburan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu adalah merangkumi 22 peratus daripada nilai keseluruhan jumlah pelaburan pembuatan negara sekali gus meletakkan Pulau Pinang di tempat kedua tertinggi daripada semua negeri di Malaysia.

“Jumlah pelaburan ini datang daripada 36 projek pembuatan yang diluluskan dan dijangka dapat mencipta kira-kira 4,577 peluang pekerjaan baharu sekali gus menguatkan kedudukan Pulau Pinang sebagai kuasa besar ekonomi negara.

“Secara signifikannya, sebanyak 90 peratus nilai pelaburan adalah daripada pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM6.1 bilion yang mengesahkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama pembuatan dan inovasi termaju global.

“Selain itu, ia juga mencerminkan kekuatan sektor perindustrian Pulau Pinang, dengan 79 peratus adalah dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan 15 peratus dalam jentera dan peralatan,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa nilai pelaburan langsung asing tertinggi adalah daripada Amerika Syarikat berjumlah RM2.4 bilion diikuti oleh Hong Kong (RM1.3 bilion) dan Taiwan (RM1.1 bilion).

“Keadaan ini mengulangi semula pencapaian cemerlang Pulau Pinang pada tahun lepas, yang mana Singapura (RM4 bilion), Amerika Syarikat (RM2.9 bilion) dan Taiwan (2.1 bilion) merupakan pelabur utama.

“Momentum positif ini adalah hasil daripada fokus berterusan Kerajaan Negeri dalam membina ekonomi yang berinovasi, mampan.

“Kedudukan strategik Pulau Pinang dalam rantian bekalan global dikukuhkan lagi dengan penyediaan polisi, infrastruktur industry dan bakat berkemahiran tinggi,” katanya.

Ditanya mengenai rancangan Intel untuk mengecilkan operasi, Kon Yeow memberitahu bahawa agensi pelaburan negeri, Invest Penang (IP) akan berjumpa dengan wakil syarikat pembuatan cip global itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan perkara itu.

“Dengan pembinaan fasiliti mereka yang hampir siap, maka Kerajaan Negeri juga berminat untuk mengetahui rancangan mereka seterusnya,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD