Pulau Pinang dedah 72 syarat EIA projek tambak laut

Admin

GEORGE TOWN – Sebagaimana dijanjikan pada Ahad lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mendedahkan serta mengedarkan salinan 72 syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek tambakan laut di perairan selatan pulau Pulau Pinang (PSR), kepada khalayak.

Menjawab soalan pemberita, beliau percaya bahawa impak terhadap alam sekitar yang membimbangkan para nelayan nelayan dapat diminimumkan, sekiranya semua syarat berwajib dipenuhi.

“Memang menjadi komitmen kita untuk mengumumkan 72 syarat-syarat yang terkandung dalam kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) percaya semestinya projek ini akan membawa impak.

“Tapi, kita percaya bahawa mitigasi yang akan dilakukan telah ditapis dengan setelitinya oleh agensi teknikal berkaitan dan impak-impak dapat diminimumkan ke satu tahap yang tidak menjejaskan aktiviti nelayan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 16 Julai 2019.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong.

Walaupun sesi rundingan dengan nelayan-nelayan berkenaan belum bermula, menurut Kon Yeow, daripada segi persepsi mereka telah meminta bot dengan kapasiti enjin yang lebih besar.

“Maksudnya, mereka ingin meneruskan aktiviti nelayan mereka, tetapi mungkin bukan dari kawasan yang akan ditambak tapi jauh daripada kawasan yang ditambak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Tambah Kon Yeow, pentadbirannya turut akan mengaturkan suatu sesi taklimat khas mengenai projek PSR ini, sebagaimana dihasratkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini turun padang mendapatkan maklum balas daripada para nelayan terbabit.

Dalam pada itu, Wai Loong memberitahu bahawa Konsortium SRS selaku rakan paksana projek PSR berpendapat, syarat-syarat berwajib berkaitan ‘Offset Programme’ merupakan antara yang mencabar untuk dipenuhi kelak.

“Semua (syarat-syarat) agak mencabar tapi perkara yang paling berbeza, juga mencabar adalah Penang Offset Masterplan,” respons beliau kepada pemberita.

Secara umum, Offset Programme bagi kehilangan kekal yang diakibatkan oleh projek PSR ini akan diselaraskan sebagai sebahagian daripada Penang Offset Masterplan.

Pelan induk tersebut, antaranya merangkumi penyediaan tukun tiruan; Fishery Aggregating Device (FAD); penanaman semula bakau dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan agensi berkaitan; pelepasan benih ikan; stuktur eco-engineering pada lapis lindung pantai; menyediakan dana bagi kajian dan penyelidikan untuk penyu dan terumbu karang dan sebagainya.

Cabaran-cabaran lain, jelas Wai Loong, adalah aspek pemantauan Offset Programme secara berkala, pelaksanaan audit serta hasil laporan pemantauan hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelaksana Offset Programme.

Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada JAS pada 4 Julai lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAU SUUN TING
Video : ALVIE CHENG