Pulau Pinang di landasan tepat realisasi Visi Penang2030

Ketua Menteri (kanan) dalam rancangan Dialog Bersama Pemimpin DAP Pulau Pinang yang dihoskan oleh Hanafi Lubis di Wisma DAP Negeri, Jalan Rangoon pada 23 Ogos 2022.

PEMBANGUNAN modal insan, pembangunan infrastruktur dan perancangan untuk masa depan negeri menjadi tiga indikator bagi menunjukkan Pulau Pinang selama empat tahun kebelakangan ini berada pada landasan yang betul dalam merealisasikan Visi Penang2030.

Demikian penjelasan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam rancangan Dialog Bersama Pemimpin DAP Pulau Pinang yang dihoskan oleh Hanafi Lubis di Wisma DAP Negeri, Jalan Rangoon pada 23 Ogos 2022.

“Sebagai contoh (bagi indikator pembangunan modal insan), Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM62 juta untuk membantu sekolah-sekolah dalam negeri.

“Selain itu, kami (Kerajaan Negeri hari ini) juga telah menjalankan program tuisyen percuma dengan memberi manfaat kepada lebih 3,000 pelajar di seluruh negeri ini,” jelasnya.

Tidak setakat itu sahaja, menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri baru-baru ini melancarkan ‘Penang Internship Programme’ yang memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk melatih pelajar pelatih (intern) supaya dapat membangunkan pembangunan modal insan atau ‘human capital’ dalam negeri,” jelasnya.

Pembangunan infrastruktur

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, dalam aspek infrastruktur pengangkutan pula, pentadbirannya telah memulakan proses pra-kelayakan untuk menjemput syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam (proses) tender terbuka berhubung pembinaan transit aliran ringan (LRT).

“(Selain pembangunan infrastruktur berkaitan projek pembinaan LRT), kerja-kerja pembinaan jalan lintasan Pakej 2 dari Ayer Itam ke Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu sedang dijalankan juga,” ujarnya.

Ekonomi dan perancangan masa depan negeri

Tidak dilupakan juga, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus memacu perancangan masa depan negeri terutama berkaitan pembangunan ekonomi yang bakal membawa limpahan kemewahan kepada kehidupan penduduk di Pulau Pinang.

“Pada aspek ekonomi, pencapaian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Pulau Pinang pada tahun lepas adalah RM99 bilion iaitu peningkatan sebanyak 6.8 peratus dan merupakan rekod tertinggi dalam negara.

“Pelaburan (langsung) asing (FDI) dalam sektor pembuatan sebanyak RM74 bilion merupakan rekod paling tinggi dalam negara, dan kami (Kerajaan Negeri) akan terus membuat perancangan bagi memastikan Pulau Pinang mencapai Visi Penang2030,” ulasnya lanjut.

Dari segi kelestarian alam juga, Kon Yeow menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatatkan perbelanjaan tertinggi berkaitan usaha melindungi alam sekitar iaitu berjumlah RM205,000 bagi setiap kilometer persegi pada tahun 2020 (berbanding rekod) purata negeri-negeri adalah RM43,000 setiap kilometer persegi.

Tidak sangka jadi Ketua Menteri

Kon Yeow, 63 tahun, merupakan graduan peringkat Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau pernah menjadi seorang wartawan sebelum ditaklifkan sebagai Setiausaha Politik kepada ‘pemimpin agung’ Parti Tindakan Demokratik (DAP), Saudara Lim Kit Siang.

Sepanjang berkecimpung dalam arena politik kepartian, beliau pernah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota mulai tahun 1990 hingga 1999.

Beliau juga sejak tahun 2008 hingga kini menyandang kerusi ADUN Padang Kota.

Pada 13 Mei 2018, iaitu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Kon Yeow diisytihar sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima apabila Lim Guan Eng melepaskan jawatan itu bagi dilantik sebagai Menteri Kewangan Malaysia.

Semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri dahulu, Kon Yeow pernah menjadi Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan dan Tebatan Banjir.

Selain menjadi Ketua Menteri, kini Kon Yeow turut menyandang jawatan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi serta Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam wawancara berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau sendiri tidak pernah mempunyai cita-cita menjadi seorang Ketua Menteri.

“Saya tidak pernah terfikir akan menjadi Ketua Menteri.

“Apabila saya menjawat jawatan Setiausaha Politik kepada saudara Lim Kit Siang, saya hanya berhasrat untuk membantu perjuangan beliau.

“Selepas itu, saya menjadi calon dan telah berkhidmat sebagai ADUN, Ahli Parlimen dan ahli Exco sebelum menjadi Ketua Menteri kini,” soloroh beliau sebagai menjawab soal hos wawancara berkenaan.

Kepelbagaian NGO aktif suatu ‘tuah’

Tanpa perlu berselindung lagi, Pulau Pinang mempunyai kepelbagaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu aktif berbanding di negeri-negeri lain sehingga mengundang pelbagai reaksi kepada pentadbiran Kerajaan Negeri selama ini.

Bagi Kon Yeow, kepelbagaian NGO yang aktif tersebut merupakan kekuatan bagi negeri Pulau Pinang demi memastikan proses semak dan imbang serta agenda pemerkasaan masyarakat sivil terus subur serta menguntungkan semua lapisan penduduk.

“Pulau Pinang amat bertuah kerana kumpulan-kumpulan gerakan masyarakat sivil yang peka dengan pembangunan sosioekonomi, pendidikan, kelestarian alam sekitar, kepenggunaan, politik, wanita dan kanak-kanak bergiat aktif di sini.

“Selain menjadi ejen semak dan imbang dalam polisi-polisi dan pentadbiran negeri, saya melihat gerakan sivil ini sebagai agen dalam memberdaya mesyarakat melalui pendidikan dan advokasi.

“(Ini kerana,) pendidikan akademik di sekolah adalah tidak cukup untuk melahirkan warga muda yang progresif, kritikal, mampu menganalisis dan mampu memberi pandangan melalui pelbagai sudut pandang.

“Justeru, di sinilah sebenarnya kekuatan gerakan-gerakan sivil di Pulau Pinang, dan saya amat menghargai setiap kerja keras yang mereka jalankan; isu yang dibangkitkan yang mana ia merupakan suatu bentuk dinamika dalam semak imbang dan semua daripada kita perlu belajar mencari jalan tengah yang memberi manfaat kepada masyarakat terbanyak demi kepentingan negeri ini,” jelasnya lagi yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Harapan buat generasi muda

Mengakhiri bicarawara selama kira-kira 30 minit itu, Kon Yeow berkata bahawa sangat besar harapannya buat generasi muda-mudi supaya dapat terus memacu pembangunan Pulau Pinang menerusi pelbagai platform yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Penggerak Komuniti Muda (PEKA).

PEKA, menurut Kon Yeow, bermula pada tahun 2016 secara konsisten menjalankan program pemberdayaan akademik yang fokus kepada Sains, Teknologi, Penguasaan Bahasa & Kemahiran.

“Antara program yang mereka jalankan ialah Tuisyen Rakyat, ETuisyen Rakyat, Fasih Bahasa dan Technomind Camp.

“Saya percaya memberdaya anak muda melalui pendidikan bakal memberi mereka peluang untuk meningkatkan mobiliti sosial.

“Anak muda adalah aset kepada negeri Pulau Pinang yang mana merekalah yang menggerakkan ekonomi, politik, aktiviti seni-budaya-kesusasteraan di negeri ini.

“Melihat kepada versatilnya anak muda di Pulau Pinang, pastinya negeri ini ingin mewujudkan suatu persekitaran yang mampu meneroka dan mengembangkan potensi mereka.

“Inisiatif-inisiatif yang melibatkan anak-anak muda di negeri ini antaranya digerakkan oleh Penggerak Komuniti Muda dan PYDC mendapat sokongan 100 peratus daripada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Di samping PEKA, Kon Yeow memberitahu bahawa PYDC pula menguruskan program-program pendidikan antaranya pengetahuan dalam politik dengan penglibatan golongan belia.

“Antaranya adalah penganjuran Sidang Muda yang memberi pendedahan tentang demokrasi, kerajaan tempatan serta isu politik nasional.

“Penglibatan mereka penting dalam membuka laluan kepada ramai lagi pemimpin muda untuk menerajui Pulau Pinang suatu masa kelak.” ulas beliau.