Pulau Pinang dijangka capai imuniti kelompok menjelang Oktober

Admin

PANTAI JEREJAK – Pulau Pinang menyasarkan sebanyak 9,000 hingga 10,000 dos suntikan vaksin diberikan kepada rakyat di negeri ini setiap hari bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri perlu memastikan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dibuka sebagaimana dirancang sebelum ini.

“Masih ada pelbagai PPV termasuk pihak kerajaan, hospital dan klinik swasta serta PPV untuk ‘economic frontliners’ yang akan dikendalikan oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri dan Khairy Jamaluddin semasa mengadakan sidang media selepas melakukan tinjauan pengoperasikan PPV Spice Arena di sini pagi tadi.

“Kesemua PPV ini akan menyumbang kepada sasaran 9,000 hingga 10,000 dos suntikan vaksin setiap hari berdasarkan kepada perancangan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Pusat serta Negeri.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan akan memberikan kepercayaan kepada rakyat bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancangkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi meninjau operasi PPV SPICE Arena di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin serta Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Asmayani Khalib.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut meminta pihak CITF agar mempertimbangkan cadangan untuk memberikan tarikh jangkaan bagi menerima suntikan kepada mereka yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin.

Spice Arena merupakan PPV keenam yang dibuka di Pulau Pinang.

“Langkah ini adalah bagi membolehkan sekurang-kurangnya mereka yang telah mendaftar dapat mengenal pasti anggaran bilakah masa mereka akan menerima suntikan vaksin sekaligus juga melegakan hati rakyat yang masih menunggu.

“Selain itu, ia juga dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa giliran untuk diberi suntikan vaksin akhirnya akan sampai kepada mereka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Terdahulu, Kon Yeow dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tiga lagi PPV bakal beroperasi di Pulau Pinang bermula bulan ini iaitu Tapak Pesta Sungai Nibong bagi Daerah Timur Laut; SPICE Arena (Daerah Barat Daya) dan Tapak Ekspo Seberang Jaya (Daerah Seberang Perai Tengah) selain enam hospital yang telah dikenal pasti.

Dalam pada itu, Khairy pada sidang media sama memaklumkan bahawa SPICE Arena bakal menjadi PPV bagi suntikan vaksin Astrazeneca yang beroperasi mulai 7 Jun ini dengan menyasarkan 133,000 dos akan diberikan kepada rakyat Pulau Pinang.

Kemudahan yang disediakan di PPV Spice Arena.

“Bagi permulaan, kita akan mulakan dengan kapasiti 1,000 suntikan dan ditingkatkan sehingga 1,000 dos pada hari bekerja serta 2,000 dos pada hujung minggu.

“Oleh itu, pada hari ini, kita lakukan tinjauan untuk memastikan perjalanan vaksinasi di SPICE Arena adalah mudah, mesra serta selesa terutamanya kepada golongan petugas dan juga orang kurang upaya (OKU),” ulasnya.

Tambah Khairy, satu lagi PPV awam yang akan dibuka di negeri ini pada minggu hadapan iaitu Tapak Pesta Sungai Nibong bakal menampung kapasiti 1,000 dos suntikan vaksin sehari.

“Selepas ini, akan ada perbincangan antara saya dan pihak Ketua Menteri mengenai jadual penghantaran vaksin bagi Pulau Pinang sebagaimana dicadangkan oleh CITF Pusat.

“Sekiranya diterima oleh Kerajaan Negeri, kita akan melakukan persiapan untuk memastikan penghantaran (vaksin) yang besar pada Julai atau Ogos ini dapat disusuli dengan suktikan kepada rakyat,” ujarnya.

Susun atur di PPV Spice Arena.

Mengulas lanjut, Khairy turut memberitahu bahawa pihaknya juga bercadang untuk membuka PPV di kawasan industri iaitu dekat Bayan Lepas serta Batu Kawan.

Megulas lanjut, beliau memberitahu bahawa inisiatif tersebut adalah untuk membolehkan para pekerja yang terpaksa bekerja dalam kawasan dikenakan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dapat diberi kemudahan vaksinasi.

“Selain itu, kita juga akan melancarkan vaksinasi untuk sektor industri dalam masa dua minggu lagi,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN