Pulau Pinang fokus lahirkan usahawan e-dagang & ekonomi digital tahun hadapan – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Kira-kira 200 peserta mengambil bahagian dalam Program Insentif Usahawan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kali keempat anjuran MMK Pembangunan Keusahawanan bertempat di Hotel Ixora, di sini pada 29 Disember lalu.

Menurut Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain, program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai insentif dan sokongan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan.

Antara peserta Program Insentif Usahawan Negeri Pulau Pinang yang mengambil bahagian.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita ada dua agensi yang menyediakan insentif kepada usahawan iaitu melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang menyediakan Skim Pinjaman Harapan (SPH) iaitu skim tanpa cagaran dan faedah.

“Satu lagi pinjaman yang ditawarkan Kerajaan Negeri adalah skim oleh investPenang khusus untuk usahawan muda yang mahu menawarkan perkhidmatan atau produk-produk baru berasaskan teknologi yang mana sebanyak RM3.7 juta telah berjaya diluluskan pada tahun ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian program berkaitan di sini.

Beberapa ahli panel berpengalaman dalam bidang keusahawanan turut ditampilkan antaranya, Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan PDC, Ku Zaleha Iskandar; Pengurus Besar Halal Penang, Mohd. Firhan Ghouse; wakil SME Corporation Malaysia, Pulau Pinang, Nurliyana Hussin serta wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jasmin Mohd. Abd. Jalil.

Usahawan e-dagang terkenal yang juga pengasas Tudung People, Fazrena Aziz; Peneraju Syarikat Jeruk Madu Pak Ali, Alias Ali serta wakil Syarikat Ever Green Cove Sdn. Bhd., Goh Toh Sin turut diundang dalam program tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Halim menjelaskan bahawa pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan e-dagang serta pengenalan kepada usahawan digital.

“Kini kita memasuki era baru iaitu digital ekonomi yang mana teknologi-teknologi baru digunakan dalam model perniagaan dan sekiranya teknologi digital ini gagal dikuasai dibimbangi kita akan ketinggalan.

“Oleh itu, sebagai projek permulaan, Kerajaan Negeri akan memilih 10 usahawan yang bersedia ke arah perniagaan e-dagang dan digital untuk diberikan bimbingan,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD