Pulau Pinang hantar misi bantuan pasca banjir ke Baling

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke Baling, Kedah sejak beberapa hari lalu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pada hari ini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) masing-masing menggerakkan pasukan khas bersama-sama jentera bagi membantu memulihkan semula keadaan serta membantu mangsa yang terkesan.

 

“Pagi ini, saya menerima permintaan daripada Setiausaha Bandaraya MBSP untuk menghantar misi bantuan pasca banjir ke Baling bersama-sama seorang pegawai dan 20 ‘wira oren’.

 

EXCO Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh (depan, tengah) bersama-sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad (depan, empat dari kanan) pada pelepasan misi bantuan bencana ke Baling pada 6 Julai 2022. (Gambar : MBSP)

“Selain itu, MBSP juga menggerakkan lima jentera termasuk lori tangki; lori roro; ‘grabber crane’; ‘tail lifts’ dan ‘keeper’ serta peralatan mudah alih bagi membantu kerja-kerja pembersihan selut.

 

“Begitu juga MBPP yang mana saya difahamkan turut menggerakkan pasukannya ke sana.

 

Saya harapkan pasukan khas bantuan pasca banjir kita selamat sampai (ke destinasi yang dituju) dan memberi bantuan sewajarnya.

 

 

“(Dan) dijangkakan kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa beberapa hari untuk kembali pulih bagi kerja-kerja lanjutan lain,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini pada 6 Julai 2022.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap mangsa yang terkesan dapat pulih daripada ‘kejutan’ banjir yang berlaku pada petang Isnin lalu.

 

“Pihak Mutiara Food Bank (MFB) juga turut menghantar bantuan makanan yang siap dimasak ke kawasan berkaitan.

 

“Malah, saya juga difahamkan bahawa terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dari PBS dan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) turut terlibat dalam misi kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di sana sebelum ini,” katanya.

 

SEBAHAGIAN jentera milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang digerakkan ke misi bantuan pasca banjir di Baling. (Gambar : MBPP)

Berdasarkan ‘posting’ yang dimuat naik oleh MBPP melalui laman Facebook rasmi, difahamkan seramai 38 wira barisan hadapan daripada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran; Jabatan Landskap; Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasaan digerakkan ke Baling pada 6 Julai 2022.

 

Pasukan khas MBPP juga memobilisasikan peralatan dan jentera antaranya lori combi; lori HST; ‘skid loader’; SSL (Bobcat) serta ‘multi purpose loader’ yang akan ditugaskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Baling bagi membantu kerja-kerja pembersihan selut dan pokok-pokok yang tumbang di kawasan terkesan.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI