Pulau Pinang hasrat gandakan kehijauan negeri termasuk sekitar Padang Kota – Jagdeep

Admin
GAMBAR kenangan seusai acara pecah tanah fasa dua kerja-kerja menaiktaraf kawasan Taman Linear dekat Padang Kota Lama, George Town di sini pada 15 Mei 2023.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berhasrat untuk menggandakan lagi tahap kehijauan Pulau Pinang termasuk sekitar kawasan lapang dekat Padang Kota Lama di Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini.

JAGDEEP Singh Deo

Mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian semasa merasmikan projek Taman Linear iaitu fasa kedua kerja-kerja penarafan kawasan lapang di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara.

“Jika mahu ‘melawan’ krisis (perubahan) iklim, mesti ada lebih banyak kawasan hijau di negeri Pulau Pinang.

“(Dan) disebabkan hasrat (menggandakan tahap kehijauan negeri Pulau Pinang) tersebut, (projek Taman Linear) ini merupakan salah satu lagi projek yang telah kita (Kerajaan Negeri) rancang dan akan bermula (pada hari ini),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat sebelum menyempurnakan acara pecah tanah projek berkenaan di sini pada 15 Mei 2023.

SUASANA sedia ada di persisiran pantai laut Utara George Town di sini.

Buletin Mutiara difahamkan fasa kedua kerja-kerja penarafan projek Taman Linear di sini merupakan salah satu daripada 14 projek di bawah Program Pemajuan Kawasan Awam Pesisir Pantai Utara.

Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Think City Sdn. Bhd. dan Yayasan Hasanah membiayai projek pembangunan bercampur tersebut dengan kos keseluruhannya RM140 juta.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran yang berucap sebelum itu memberitahu bahawa projek Taman Linear merupakan antara inisiatif penambahbaikan Kawasan Pesisiran Pantai Laut Utara George Town yang dibangunkan berdasarkan pewartawaan Rancangan Kawasan Khas George Town pada tahun 2016.

“Projek ini adalah susulan dari inisiatif projek penambahbaikan tembok laut Padang Kota Lama yang telah siap pada tahun lepas (2022) dengan kos sebanyak RM14.5 juta,” jelasnya.

Turut berucap Penasihat George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC), Dato’ Seri Dr. Anwar Fazal.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Barathi; Pengurus Besar Think City, Hamdan Abdul Majeed; dan barisan Ahli Majlis MBPP turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN