Pulau Pinang hasrat laksana projek perintis e-skuter seperti KL – Exco

JASON H’ng Mooi Lye

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhasrat untuk melaksanakan projek perintis perkhidmatan sewa guna e-skuter secara terhad sekitar bandar Bayan Baru sahaja.

Beliau berkata demikian semasa mengulas status penggunaan e-skuter di sekitar George Town ketika ini, seperti yang telah wujud di kawasan tertentu dekat Kuala Lumpur.

“Bagi tempoh percubaan, MBPP akan bekerjasama dengan syarikat (perkhidmatan ‘personal mobility’ e-skuter) swasta untuk melaksanakan projek ini.

“Sekiranya mendapat impak yang bagus, maka kita (Kerajaan Negeri melalui MBPP) akan membuat permohonan daripada pihak Kementerian Pengangkutan supaya kita dapat memperluaskan ke kawasan lain… contohnya ke kawasan Queensbay dan sebagainya,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 21 November 2023.

Kata ADUN Jawi itu lagi, paling penting sebelum melaksanakan projek perintis ini adalah mewujudkan infrastruktur berkaitan seperti menaiktaraf laluan pejalan kaki supaya sesuai untuk pengoperasi perkhidmatan ‘personal mobility’ e-skuter dengan kelajuan terhad dan selamat.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB