Pulau Pinang hasrat pinjam RM10 bilion – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berhasrat untuk mendapatkan pinjaman Persekutuan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan membiayai kerja-kerja pemajuan awalan Pelan Induk Pengangkutan (TPMP) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya akan menghantar surat permohonan berwajib kepada Perdana Menteri, Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad pada petang ini.

“Urusetia sedang menyemak butir-butiran dan dijangka pada hari ini, petang, dapat dihantar, sebab beberapa hari yang lepas mereka memasukkan banyak fakta, sebab (permohonan) ini adalah suatu rayuan untuk mendapatkan peruntukan. 

“Jadi, dari segi fakta, kita (Kerajaan) cuba memberi fakta yang penuh dengan bahasa yang bersifat rayu.

“RM10 bilion…permohonan kepada Perdana Menteri,” jelasnya pada sidang media di Komtar pada 1 Ogos 2019.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai sidang media tersebut.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan pinjaman mudah daripada Kerajaan Persekutuan, namun, tidak menyebut jumlah pinjaman secara terperinci.

Pada Julai tahun lepas, Kon Yeow dilaporkan pernah menyatakan hasrat untuk memohon pinjaman mudah kira-kira RM1 bilion melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bagi tujuan membiayai kos awalan Pan Island Link (PIL) dan skim transit aliran ringan (LRT) jajaran Komtar ke Bayan Lepas. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD