Pulau Pinang hasrat wujud 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar

Admin

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar (urban farming) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif projek ‘community farming’ atau kebun komuniti dalam sektor pertanian dilihat mempunyai prospek yang sangat cerah untuk dimajukan melalui adaptasi suntikan kepakaran serta teknologi baharu.

“Melalui inisiatif kebun komuniti, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar komuniti berdekatan dapat menikmati hasil tanaman dengan mudah.

“Secara tidak langsung, ia juga dapat diguna pakai untuk menjana ekonomi sosial jangka pendek kepada komuniti berdekatan dalam mewujudkan pekerjaan harian atau bulanan khasnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah serta yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Malah, saranan ini turut dipanjangkan kepada jabatan dan agensi negeri untuk menyahut cabaran melaksanakan kebun kitar di bawah seliaan masing-masing dalam usaha mewujudkan 100 hab kebun komuniti sepertimana yang dihasratkan dengan aktiviti penanaman sayur-sayuran organik berkonsepkan pertanian bandar.

“Projek yang merangkumi beberapa model seperti penanaman secara batas, vertical aquaponic dan mesin kompos Economical Waste Composter (EFWC) di PDL1 ini akan menjadi kajian perintis dan model rujukan yang boleh diguna pakai di setiap tanah poket Kerajaan Negeri yang masih belum diusahakan,” ujarnya sempena Majlis Perasmian Kebun Komuniti yang berlangsung dekat Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 1 (PDL1) di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo; Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan); S. Bharathi (Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang, CMI); Hamdan Abdul Majeed (Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd.) dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zahuri Khairani (Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Kreatif Industri, Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI).

Melalui model kolaborasi 4P (Perkongsian Awam Swasta Profesional) di antara CMI, Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan UPSI, projek Kebun Komuniti di PDL1 berkenaan memperoleh pembiayaan sepenuhnya berjumlah RM35,000 daripada ThinkCity, manakala UPSI telah menyumbang kepakaran untuk membangunkan projek 100 peratus termasuk pembangunan sistem agrikultur dan sistem Internet of Things (IoT).

Manakala, Jabatan Pertanian Negeri telah menyumbang anak-anak benih dan anak-anak pokok bagi menjayakan kebun kitar berkenaan.

Difahamkan bahawa, bergantung kepada jumlah hasil tuaian yang diperoleh, sekitar 400 isi rumah akan menerima manfaat daripada projek ini dalam tempoh di antara dua hingga tiga bulan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa dengan tanah berkeluasan kurang daripada 2,000 kp (kaki persegi) yang diusahakan, hasil tuaian yang diperoleh akan diagihkan mengikut skala 60:40 yang mana 60 peratus daripadanya akan memanfaatkan golongan isi rumah B40.

“Hasil tanaman ini akan diagihkan melalui saluran sedia ada seperti jalinan kerjasama dengan Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta pengagihan kepada wakil rakyat berdekatan.

“Selain itu, salah satu pendekatan menarik mengenai projek ini adalah jaminan keselamatan makanan atau food security dalam negeri,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: LAW SUUN TING