Kerja tanah tanpa kebenaran di Bukit Relau, firma swasta terima notis

A. Rajendran (tengah) dalam sidang media di kawasan tanah persendirian terbabit di Bukit Relau di sini pada pagi tadi.

PAYA TERUBONG – Firma swasta yang melakukan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta dalam siasatan akaan segera dirujuk ke mahkamah untuk proses selanjutnya.

A. Rajendran

Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran berkata, kertas siasatan telah disiapkan oleh pihak Majlis dan tindakan undang-undang akan disusuli.

“Apa-apa pun, kita tunggu keputusan mahkamah dan MBPP.

“Sementara itu, pihak pemaju telah mengemukakan pelan (permohonan) kebenaran merancang, (tetapi) MBPP belum pertimbangkannya lagi,” jelasnya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanah bersendirian berkenaan di sini pada 14 September 2020.

Beberapa Ahli Majlis MBPP dan wakil firma swasta berkenaan turut sertai lawatan kerja tersebut.

ANTARA gambar kawasan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran MBPP yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Sejak awal tahun ini, Rajendran memberitahu bahawa MBPP telah membuat pemerhatian pada bahagian tanah persendirian terlibat di Lot 274, 275, 276 dan 6621 dekat Bukit Relau.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa tempatan berkenaan turut mengeluarkan Notis Mengkehendaki Kerja Tanah Diberhentikan di bawah Seksyen 70A, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada 5 Mac, 14 Julai dan 15 Julai lepas mengikut aktiviti kerja tanah yang diperhatikan di tiap-tiap lot terbabit.

“Dalam pemantauan yang dibuat pada 15 April lepas, seramai lapan pekerja telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, kerja-kerja pemantauan pada waktu pagi dan petang sejak 24 Ogos lepas mendapati tiada lagi aktiviti serta jentera di tapak berkenaan.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Rajendran memberitahu bahawa pihak terbabit berdepan risiko denda maksimum RM50,000, penjara lima tahun, salah satu atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, firma swasta sama pernah menerima notis kerja tanah tanpa kelulusan MBPP di kawasan berhampiran serta telah didenda sebanyak RM10,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN