Pulau Pinang hasrat wujudkan 100 lokasi ‘urban farming’ menjelang 2030

Admin

PENANTI – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berhasrat untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan ‘urban farming’ (pertanian bandar) dengan aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik di negeri ini, menjelang tahun 2030.

Katanya, hasrat itu selari dengan wawasan pembangunan jangka panjang Penang2030 yang mahu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Tambahnya lagi, aktiviti ‘urban farming’ bukan sahaja mampu menjana pendapatan isi rumah penduduk bandar, bahkan memberi peluang kepada rakyat kebanyakan untuk menikmati sayur-sayuran organik pada harga yang lebih berpatutan.

“Kita (Kerajaan Negeri) tengok pada kaedah tanaman bertingkat (vertical farming), akuaponik, fertigasi dan lain-lain, dari segi pengeluaran itu sangat produktif tetapi tidak memerlukan sumber tanah (di kawasan bandar) yang terlalu besar.

“Tetapi yang diperlukan adalah teknologi (bagi melakukan ‘urban farming’),” jelasnya kepada pemberita selepas melawat tapak Tanaman Halia Fertigasi kendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Pelet di sini pada 21 Januari 2020.

Turut serta, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Mazlan Aliman.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu, ketika ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri sedang menyediakan konsep kebolehlaksanaan, sebelum melancarkan program ‘urban farming’ kelak.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan, beliau antara lain menyatakan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu hab pengeluaran halia untuk Utara Semenanjung Malaysia.

“Di sini (Tanaman Halia Fertigasi PPK Kampung Pelet) kita mempunyai 9,000 ‘polybag’ tanaman halia yang kita (Kerajaan Negeri) jangka boleh menghasilkan dalam 18 tan halia untuk sekali tuaian.

“Kita (Kerajaan Negeri) harap dengan adanya sekali (ganda) peningkatan pengeluaran harian ini, ia dapat memenuhi keperluan tempatan dan dapat dikembangkan lagi (industi asas tani bagi sektor pengeluaran halia) untuk Pulau Pinang menjadi salah satu hab pengeluaran halia di kawasan Utara (Semenanjung Malaysia) ini,” ulasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD