Pulau Pinang – Indonesia perkukuh hubungan dua hala, teroka potensi baharu

Admin
whatsapp image 2026 10 23 at 09.57.18

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap hubungan erat antara Pulau Pinang dengan Indonesia terus diperkukuh menerusi penerokaan kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, pelancongan perubatan, kesalinghubungan udara dan maritim serta pembangunan bakat dalam industri semikonduktor.

Menurut beliau, hubungan kejiranan yang baik dan semangat persahabatan antara kedua-dua pihak perlu terus dipelihara bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberikan manfaat bersama kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Wanton Saragih Sidauruk, atas komitmen dan sumbangannya sepanjang menerajui Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di negeri ini, khususnya dalam mempererat hubungan diplomatik serta memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Wanton di Komtar di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, pertemuan tersebut juga mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara Pulau Pinang dengan Indonesia, selain menjadi wadah untuk meneroka potensi kerjasama baharu yang mampu memperkukuh hubungan dua hala.

 

whatsapp image 2026 10 23 at 09.57.19

 

Sementara itu, Wanton menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya yang bermula pada Ogos 2023.

Beliau turut melihat potensi untuk memperluas kerjasama dalam industri semikonduktor, khususnya reka bentuk litar bersepadu (IC Design), termasuk pembangunan bakat berkemahiran dan pengukuhan rantaian bekalan semikonduktor menerusi kerjasama pada pelbagai peringkat, termasuk institusi pengajian tinggi.

Dalam sektor pelancongan perubatan pula, Wanton memberitahu bahawa Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan rakyat Indonesia dengan jumlah ketibaan pesakit dari negara itu dilaporkan mencecah 550,000 orang pada 2025.

Beliau juga menyambut baik pembukaan laluan penerbangan terus antara Pulau Pinang dengan Batam baru-baru ini, yang menjadikan Batam destinasi keenam di Indonesia yang mempunyai hubungan penerbangan terus dengan negeri ini.

“Perkembangan tersebut dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua destinasi, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan dan pelancongan perubatan,” katanya.

Turut hadir, Konsul (Ekonomi) KJRI di Pulau Pinang, Yomi A. Lestari dan Konsul (Sosial dan Budaya), Prima Januar Sastrawiria.

Gambar : SIEW CHIA EN