Pulau Pinang kecam tindakan wakil rakyat berpaling tadah

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah dan mengkhianati kepercayaan serta amanat rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, wakil rakyat yang telah mengubah pendirian politik mereka dilihat sebagai sehaluan dengan barisan Pembangkang Negeri dan akan diperlakukan sedemikian oleh Kerajaan Negeri.

 

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang telah digubal khususnya untuk mengatasi situasi wakil rakyat yang berpaling tadah.

 

KETUA Menteri ketika memberi maklum balas berkaitan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

“Namun begitu, kesahan (legality) Perkara 14A kini sedang dicabar (oleh ADUN-ADUN berkenaan) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan telah ditetapkan untuk pendengaran pada 18 Februari 2022.

 

 

“Sehubungan itu, tindakan susulan bagi penguatkuasaan Perkara 14A akan ditangguhkan sehingga perkara ini diputuskan secara muktamad,” jelasnya sebagai respons terhadap soalan lisan yang dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, pagi ini.

 

Menjawab soalan tambahan selepas itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah memfailkan satu permohonan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Court of Judicature Act, 1964) berhubung keperlembagaan Perkara 14A.

 

“(Tindakan memfailkan permohonan ini) adalah bertujuan supaya perkara ini dapat dibawa terus ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang konsisten atau tidak dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

 

“Maka, Mahkamah Tinggi akan menentukan sama ada perkara ini boleh dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian selepas Zi Sen membangkitkan pandangan mengenai tindakan berpaling tadah yang dikatakan sebagai satu tindakan pengkhianatan dan pembelot dalam kalangan wakil-wakil rakyat sehingga mengakibatkan ketidakstabilan politik kini.

 

Sebagai respons terhadap soalan tambahan yang dikemukakan oleh ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon berhubung kesan cadangan Akta Anti Lompat Parti pada peringkat Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Kon Yeow menegaskan bahawa sekiranya undang-undang tersebut diluluskan maka jelas tindakan lompat parti adalah ditegah.

 

“Sekiranya undang-undang tersebut diluluskan, ia akan menjadi undang-undang negara walau bagaimanapun masih tertakluk kepada situasi semasa sekiranya ada pihak yang ingin cuba mencabar peruntukan (undang-undang) tersebut.

 

(Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang), kita sedia untuk meneliti dan meminda undang-undang negeri supaya konsisten dengan undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat serta memastikan tiada percanggahan selepas itu.

 

“Saya akan berbincang (perkara ini) bersama-sama Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat tindakan selanjutnya,” jelasnya yang turut membangkitkan soal hak dan kebebasan pemilih dalam memilih wakil rakyat mereka.

 

Kenyataan Kon Yeow tersebut disokong oleh ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo yang turut membangkitkan gesaan supaya Akta Anti Lompat Parti ini diluluskan segera pada peringkat Persekutuan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN