BUKIT TAMBUN — Pulau Pinang melakar sejarah baharu apabila kembali menjadi tuan rumah Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 Jubli Intan (Diamond Jubilee) selepas kali terakhir menganjurkannya 60 tahun lalu pada edisi sulung di Kem Jubilee, Teluk Bahang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran kali ini mempunyai nilai sejarah yang amat istimewa bagi negeri ini selain menjadi wadah penting dalam membentuk generasi berkaliber.
“Bagi Pulau Pinang, menjadi tuan rumah kepada ribuan anak muda ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu amanah untuk bersama-sama membentuk generasi masa depan negara.
“Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada hari ini, saya amat berbangga dapat menyambung legasi yang telah bermula di negeri ini sejak 60 tahun lalu,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Beliau berkata demikian sempena berucap dalam Majlis Perasmian Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim.
Selain Anwar, turut berucap ialah Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin.
Turut hadir bersama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani dan beberapa pemimpin negeri lain.
Berucap lanjut, Kon Yeow yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang turut menjelaskan bahawa penganjuran julung kali pada tahun 1966 di Pulau Pinang menyaksikan mendiang Tan Sri Wong Pow Nee selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama.

Mengulas mengenai tema “Menjejak Warisan, Membina Masa Depan” yang menjadi tema penganjuran jambori pengakap pada edisi kali ini, beliau menegaskan bahawa warisan sejarah perlu terus dihidupkan melalui komitmen generasi muda hari ini.
“Warisan tidak hidup hanya kerana kita mengingatinya. Warisan hidup apabila kita meneruskannya, dan hari ini, saudara-saudari sekalianlah yang meneruskan warisan tersebut.
“Di sini, kita disatukan tanpa mengira negeri, bangsa atau agama, kita disatukan oleh satu persaudaraan, satu Persetiaan dan satu semangat untuk berbakti,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan
Sehubungan itu, Kon Yeow menasihati para peserta pengakap agar memanfaatkan perhimpunan selama tujuh hari tersebut sebagai medan latihan kehidupan untuk berdikari, bekerjasama dalam pasukan dan memimpin.
“Saya berharap anda semua pulang nanti bukan sekadar membawa lencana dan sijil, tetapi membawa pulang keberanian, disiplin, persahabatan dan semangat untuk berbakti.
“Kerana warisan yang paling berharga bukanlah apa yang kita tinggalkan, tetapi insan yang kita bentuk untuk meneruskannya,” tegasnya di depan hampir 6,000 pemimpin dan ahli pengakap serantau termasuk dari 11 negara delegasi.
Beliau turut menitipkan ucapan selamat datang kepada seluruh delegasi antarabangsa sambil menggalakkan mereka meneroka keunikan warisan, kepelbagaian budaya, kehangatan hospitaliti serta kepelbagaian makanan terkenal di Pulau Pinang sepanjang jambori berlangsung.

Anwar yang berucap selepas itu menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow atas kerjasama Kerajaan Negeri dalam memudahkan penganjuran Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 Jubli Intan di Pulau Pinang.
Beliau yang juga Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tambun, Perak turut menasihatkan sekalian pemimpin dan ahli pertubuhan berseragam tersebut supaya menyemai semangat kepengakapan bagi membina kekuatan bersama-sama, baik di tanah air ini mahupun negara-negara serantau.
“Memanfaatkan peluang ini bagi saling belajar antara satu sama lain, menghormati, serta menghayati mesej perpaduan dalam kepelbagaian, selain mesej kedamaian dan persaudaraan sejagat antara seluruh negara di dunia.
“Ini bukanlah jambori biasa, melainkan sebuah jambori yang mempunyai matlamat — jambori yang mahu memupuk amalan positif dalam kalangan anak muda.
“Untuk terus berkhidmat (di bawah semangat kepengakapan), mempunyai disiplin, memahami peranan mereka dalam masyarakat, berkhidmat kepada golongan yang kurang bernasib baik, berkhidmat demi kemanusiaan, serta memiliki nilai empati dan kasih sayang,” ujarnya sambil menyatakan perasaan bangga kerana pernah menyertai pengakap semasa di bangku sekolah.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS