Pulau Pinang komited lestarikan budaya wakaf tunai

Admin
dsc 4953 TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) dengan diiringi Mohamad Abdul Hamid (empat dari kiri) dan Abdul Mohsein Mohd. Shariff (kiri sekali) menyampaikan cek replika Anugerah Wakalah Kariah Terbaik Tahun 2023 bernilai RM15,000 kepada wakil jawatankuasa kariah Masjid Jamek Al-Hidayah Jalan Baru sempena berlangsungnya Majlis Apresiasi Sekapur Sireh WPP Bersama-sama TYT di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 4 Mac 2024.

SEBERANG JAYA – Dana kutipan wakaf tunai bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM1.7 juta menjadikan jumlah keseluruhan yang disimpan dalam Wakaf Pulau Pinang (WPP) iaitu syarikat subsidiari di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kini berjumlah RM4.07 juta.

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Abdul Mohsein Mohd. Shariff semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Apresiasi Sekapur Sireh WPP 2024 Bersama-sama Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 4 Mac 2024.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang di-Pertua MAINPP semasa berucap selepas itu berkata, pihaknya akan terus memperkasakan agenda pembangunan wakaf tunai serta pembangunan hartanah wakaf di Pulau Pinang selari dengan agenda Malaysia Madani yang dilancarkan peringkat Kerajaan Persekutuan serta Visi Penang2030 yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan Negeri hari ini.

“Kerajaan Negeri senantiasa komited dalam memastikan kelestarian wakaf terus subur dengan menjadikan budaya mewakaf dekat dengan masyarakat Islam di negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad; Ahli Majlis bagi MAINPP, Dato’ Maktar Shafie antara yang turut sertai majlis penghargaan tersebut.

Serentak pada majlis sama, Tun Ahmad Fuzi turut menyampaikan beberapa Anugerah Wakalah Kariah Terbaik bagi tahun 2022 dan 2023 kepada jawatankuasa kariah masjid berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NUR ATIKAH RAHMAT