Pulau Pinang komited sokong DAKEN

Admin
YEOH Soon Hin (kiri) menerima plak penghargaan daripada penganjur Jerayawara DAKEN Peringkat Pulau Pinang di sini tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited menyokong Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DAKEN) yang diusahakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) demi memantapkan kembali sektor berkaitan dari segi pembangunan, tadbir urus budaya, modal insan, pengkaryaan serta program penjanaan semula ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata demikian semasa merasmikan Jerayawara DAKEN Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan serentak dengan acara Pemerkasaan Badan Bukan Kerajaan (BBK) 2022.

“Kerajaan Negeri sudah tentu akan memberi sokongan terhadap dasar ini (DAKEN) agar ia terus disemarakkan melalui program-program kebudayaan.

“Ini, bagi memastikan budaya dan warisan kaum-kaum yang terdapat di negeri ini akan terus terpelihara dan lestari pada masa akan datang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong di Hotel Cititel di sini pada 19 Mac 2022.

Di samping itu, beliau turut berharap DAKEN akan dapat diangkat serta mendapat sokongan daripada semua pihak sama ada pada peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri hatta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi pemegang taruh dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif berkaitan di negeri ini.

Turut berucap, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Pulau Pinang, Shapee Che Embi.

Sementara, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr. Tan Awang Besar turut menyampaikan taklimat berkaitan DAKEN yang akan terus dipacu di seluruh negara termasuk Pulau Pinang.

Difahamkan, DAKEN dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 26 Oktober 2021 antara lain bertujuan menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran pada semua lapisan komuniti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD