Pulau Pinang komited tingkat pembekalan RMM dan PPR

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini memberitahu bahawa pentadbirannya mahu meningkatkan pembekalan rumah mampu milik (RMM) dan projek perumahan rakyat (PPR) untuk didiami rakyat kebanyakan terutama golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) di negeri ini.

Beliau menyatakan sedemikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan 272 Unit RMM Jenis A Taman Kalidonia Indah yang akan dimajukan oleh firma Eco Horizon Sendirian Berhad di sini pada 24 Oktober 2020.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian di sini pada pagi tadi.

“Kesemua lima bidang tanah berkenaan pernah dicadangkan kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebelum ini…bagi tujuan pelaksanaan projek RMM dan PPR, untuk rakyat terutama golongan B40.

“Sebab, Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) memang tidak berminat untuk mengadakan projek rumah mewah…(kerana) tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah lebih kepada tanggungjawab sosial.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri sangat berharap projek rumah rakyat di Taman Kalidonia Indah ini membawa kesejahteraan kepada rakyat terutama golongan B40,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Selain Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo turut berucap pada majlis tersebut.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Rosnani Mahmod dan Timbalan Pengurus Besar Perbandanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

ACARA gimik majlis pecah tanah dan penanaman pokok sempena pelaksanaan Projek Rumah Rakyat Jenis A Taman Kalidonia Indah di sini tadi.

Ketika berucap sebelum itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Group Berhad, Datuk S. Sundarajoo dan Pengurus Besar Bahagian Utara Eco Horizon Sendirian Berhad kerana bersetuju untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, dalam merealisasikan projek perumahan rakyat di Taman Kalidonia Indah.

“Kerajaan Negeri ada tanah, sementara pemaju ada kemampuan untuk membina rumah, jadi kita saling bekerjasama mewujudkan perumahan rakyat di atas tanah Ladang Kalidonia ini.

“Saya berharap model kerjasama ini berjaya melebihi nilai ringgit dan sen…sebelum diperluaskan model ini dengan melibatkan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang lain pada masa hadapan,” responsnya yang juga ADUN Pengkalan Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

SUASANA acara di khemah utama, masing-masing dalam penjarakan fizikal kira-kira 1 meter (m) antara satu sama lain mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini tadi.

Difahamkan, Kerajaan Negeri menyediakan tanah seluas 15.106 ekar bernilai RM14 juta secara percuma untuk Eco Horizon Sendirian Berhad membiayai kos pemajuan 272 unit RMM Jenis A yang dianggarkan bernilai RM50.94 juta.

Diberi nama Taman Kalidonia A, fasa pertama projek adalah melibatkan 112 unit kediaman dengan anggaran kos pembinaan RM190,000 seunit, sementara baki 160 buah kediaman dimajukan dalam fasa kedua.

Kedua-dua fasa pemajuan RMM dengan 650 kaki persegi luas lantai tiap-tiap unit kediaman dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Sehingga kini, pembekalan RMM dalam pelbagai peringkat pemajuan adalah berjumlah 106,742 unit.

Ikut pecahan, 34,388 unit telah siap dibina, sementara 20,180 lain sedang dibina dan 52,174 unit dalam proses kelulusan untuk pembinaan.

Daripada jumlah itu, menurut rekod Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, 26,616 unit adalah RMM Jenis A, Jenis B (26,955 unit) dan Jenis C (53,131 unit), masing-masing dengan harga tawaran RM42,000, RM72,500 dan bawah siling harga RM300,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD