GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini dalam fasa memperkukuh kerangka penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan secara rasmi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, wakil dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Invest Penang Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), penasihat strategik serta pihak swasta turut akan menganggotai jawatankuasa tersebut, dengan diurusetiakan bersama Jabatan Kewangan Negeri dan Penang Institute.
“Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas PIFC bertanggungjawab menyelia pembangunan kertas putih dan pelan tindakan strategik yang akan disediakan untuk penyerahan rasmi kepada Kementerian Kewangan (MOF) menjelang suku ketiga tahun ini (2026).
“Ini adalah bagi mempercepat penubuhan ekosistem kewangan melalui rangka kerja berstruktur,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik di Komtar pada 19 Mac 2026.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa penubuhan PIFC bertujuan menjadikan negeri ini sebagai hab nexus bagi teknologi dan kewangan yang menyokong penuh ekosistem industri semikonduktor.
Melalui PIFC juga, beliau berkata, perkhidmatan kewangan strategik seperti pembiayaan rantaian bekalan, inovasi fintech dalam kewangan Islam serta pembangunan infrastruktur kewangan digital akan diperkenalkan bagi memperkukuh kedudukan ekonomi Pulau Pinang di peringkat global.
Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa dengan adanya PIFC, ia akan memperkukuh lagi kedudukan negeri ini sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) utama melalui limpahan modal dan destinasi pelaburan berisiko rendah.
“Pembangunan PIFC dijangka mengambil masa 20 tahun untuk dibangunkan sepenuhnya, dengan dua fasa awal yang akan memfokuskan kepada penubuhan institusi (tahun pertama dan kedua), dan pembentukan ekosistem kawal selia (tahun kedua hingga kelima),” ujarnya sambil memberitahu bahawa mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas PIFC dijadualkan pada 1 April ini.
Ditanya pemberita selepas itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa sama ada PIFC ini menumpu pada bahagian pulau sahaja ataupun tanah besar Seberang Perai, ia adalah bergantung kepada keputusan MOF nanti.
“Pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk kita memuktamadkan lokasi-lokasi.
“(Susulan peperangan di Timur Tengah) yang menyaksikan pelarian modal ke rantau ini (Asia Tenggara), buat masa ini telah memberi kelebihan kepada Singapura, dan Hong Kong kerana ada destinasi pelaburan berisiko rendah yang bagus di sana,” ulasnya lanjut sambil berharap PIFC kelak akan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan berisiko rendah terbaik di rantau ini.
Pada Mac tahun lepas, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang secara rasmi menyerahkan Surat Niat kepada MOF berhubung syor penubuhan sebuah pusat kewangan antarabangsa di negeri ini.
MOF kemudiannya memberi respons neutral pada Julai 2025 dengan menyatakan bahawa tiada dasar negara sedia ada pada masa ini untuk mewujudkan pusat kewangan antarabangsa baharu.
Pada 2 Mac 2026, Kerajaan Persekutuan memberi respons yang agak memberangsangkan di Dewan Rakyat, sebagai menjawab pertanyaan Kon Yeow sendiri selaku Ahli Parlimen Batu Kawan.
“Ini, menuntut hala tuju serta kerangka dasar yang jelas dalam peringkat negeri bagi memastikan ia selari dengan ekosistem kewangan sedia ada serta jangka panjang Kerajaan.
“Kerajaan Negeri juga diminta menjalankan kajian yang mendalam dan mengadakan libat urus secara holistik bersama pemegang taruh utama termasuk MOF, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa susulan daripada penyerahan Surat Niat berkaitan kepada MOF pada Mac 2025, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif awalan mengadakan sesi penglibatan rasmi dengan pihak berkuasa kawal selia utama termasuk BNM, SC dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING