GEORGE TOWN – Aplikasi Sistem Online: Penang Information and Complaints System (ePINTAS) – State Environmental Health Action Plan (SEHAP) Negeri Pulau Pinang diharap dapat memperkukuh kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kesihatan alam sekitar secara holistik.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sistem aplikasi bersepadu itu merupakan pertama diwujudkan dalam negara dengan melibatkan kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Usaha gigih pasukan Thematic Working Group 2 (TWG 2) – Kebersihan dan Sanitasi, yang ditubuhkan di bawah Program SEHAP akhirnya membuahkan hasil melalui pembangunan platform bersepadu berkaitan dengan modul pengurusan serta pemantauan kes denggi yang dibangunkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
“Hasil integrasi ini bukan sahaja memperkemas aliran kerja antara agensi, malah juga mewujudkan sebuah sistem pemantauan yang lebih cekap dan responsif, yang mana melalui aplikasi ini, proses pengesanan kes dapat dilaksanakan dengan jauh lebih pantas kerana setiap perkembangan data dikemas kini secara serta-merta pada peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pada masa sama, proses semakan dan pengesahan menjadi lebih teratur, membolehkan tindakan susulan dibuat secara tepat dan berfokus kerana aplikasi ini mampu memaparkan maklumat lokasi, status kes dan tindakan lapangan secara digital turut memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan, menjadikan operasi pemantauan lebih strategik serta tersusun,’’ katanya semasa melancarkan Program State Environmental Health Action Plan (SEHAP) Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Alaudin; dan Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee turut sertai sidang media ringkas tersebut.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa lebih membanggakan, inisiatif berkaitan turut menjana penjimatan kos kerajaan sebanyak RM170,000 setahun melalui penggunaan aplikasi sedia ada yang digabungkan dengan modul baharu, tanpa perlu membangunkan sebuah sistem yang sepenuhnya baharu.
Selain JKNPP, Kon Yeow menyatakan bahawa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendaftaran Negara (Negeri Pulau Pinang), Pejabat-Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah, PBT (iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan agensi yang terlibat di bawah TWG2 tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD