Pulau Pinang lancar jersi baru, harap pasukan bola sepak negeri beraksi lebih cemerlang

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow lewat petang tadi melancarkan jersi baru Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi saingan musim 2020.

Ketika berucap, beliau berharap pasukan Harimau Kumbang dapat menunjukkan aksi yang lebih cemerlang berbanding saingan pada musim lepas.

Serentak itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM8 juta untuk persatuan tersebut.

“Harapan tinggi diletakkan atas bahu setiap pemain untuk menampilkan aksi yang terbaik serta cemerlang bagi membolehkan kita merangkul kejuaraan dalam Liga Primier dan sekaligus layak ke Liga Super secara merit, juga memasuki saingan Piala Malaysia yang turut meraikan Tahun Ke-100 pada tahun ini (2020),” jelasnya dalam majlis yang berlangsung di Stadium Bandaraya dekat sini pada 20 Februari 2020.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee dan Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah antara pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.

Hadir sama, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN