Pulau Pinang lulus undang-undang usia 18 tahun jadi calon pilihan raya

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara meluluskan pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee ketika mengemukakan usul tersebut berkata bahawa pindaan enakmen itu adalah bagi membenarkan individu berusia 18 tahun dan ke atas menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Lip Chee berkata, Pulau Pinang akan menjadi negeri ketujuh selepas Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Perak yang membenarkan individu berusia 18 tahun dan ke atas bertanding dalam pilihan raya.

Tambah beliau lagi, kaji selidik yang dijalankan berhubung cadangan penurunan had umur sebelum ini mendapati seramai 2,661 daripada 3,475 responden, iaitu 65.06 peratus golongan belia menyokong manakala 35 peratus atau 1,214 responden lagi membantah.

“Kajian tersebut telah dilaksanakan bermula dari 8 Disember 2020 sehingga 6 Jun 2021 dengan borang soal selidik mengenai cadangan itu telah diedarkan secara dalam talian (online) kepada responden.

“Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) juga mengadakan pelbagai kempen pada April lalu untuk meningkatkan kesedaran dan menarik perhatian belia berhubung perkara yang ingin dilaksanakan,” katanya lagi.

Lip Chee berkata, perkembangan sosial dan demokrasi di seluruh dunia memerlukan golongan belia diberi hak menjadi calon pilihan raya seawal usia 18 tahun.

Pada masa sama katanya, golongan belia perlu diberi peluang untuk memainkan peranan kritikal dalam dasar-dasar kerajaan memandangkan mereka merupakan generasi yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Ini juga seiring dengan perkembangan pesat ekonomi, teknologi dan kemajuan pelbagai industri yang mana pembabitan golongan muda dalam pembangunan sosial dan politik di Pulau Pinang dan Malaysia amat diperlukan.

“Langkah ini mampu memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Justeru, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menganjurkan lebih banyak lagi program-program yang boleh meningkatkan kesedaran tentang isu sivik dan demokrasi di negeri ini.

“Hal ini supaya golongan muda yang berminat dalam bidang politik boleh menyediakan diri untuk menghadapi cabaran menjadi calon dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD