Pulau Pinang mainkan peranan penting dalam memacu pelaburan negara – Ketua Menteri

BUKIT TAMBUN – Sebagai sebuah negeri bergelar ‘Lembah Silikon Timur’, Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam memacu pelaburan negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bagi suku pertama tahun ini (Q1 2020), Pulau Pinang mencatatkan pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan sebanyak RM7.1 bilion meskipun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar.

Chow Kon Yeow dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bergambar kenangan selepas selesai sesi dialog bersama pemain-pemain industri utama dekat Boston Scientific, pagi tadi.

“Aliran masuk dalam tempoh tiga bulan ini adalah bersamaan dengan 42 peratus jumlah keseluruhan pelaburan pembuatan dicatatkan pada tahun lepas.

“Daripada jumlah berkaitan, RM6.8 bilion adalah daripada pelaburan langsung asing (FDI) yang menjadi penyumbang terbesar FDI di negara ini iaitu kira-kira 64 peratus bagi suku pertama tahun ini.

“Ini bermakna Pulau Pinang telah menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dalam menarik pelabur walaupun kita hanya sebuah negeri kecil,” katanya pada sesi dialog anjuran Association of Malaysian Medical Industries (AMMI) bersama-sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pemain-pemain industri utama dekat kilang Boston Scientific, di sini pagi tadi.

Bersama wakil-wakil berkaitan yang menyertai sesi dialog bersama pemain industri.

Turut serta, Pengarah investPenang merangkap Penasihat Pelaburan kepada Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon; Ketua Pegawai Eksekutif investPenang, Dato’ Loo Lee Lian; Naib Presiden/Pengurus Besar Pembuatan dan Pengedaran Malaysia bagi Boston Scientific, Dave Mitchell; wakil-wakil industri serta ramai lagi.

Walau bagaimanapun, kata Kon Yeow, penularan wabak pandemik COVID-19 telah menyebabkan prestasi pelaburan negara menjadi sedikit perlahan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Justeru, kita berharap agar kerajaan dapat meneliti perkara ini supaya semua industri mampu keluar daripada kesan wabak ini secepat mungkin,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan merangka dasar yang lebih menyeluruh bagi menarik pelabur asing untuk melabur semula di negara ini sekaligus menjadikan Malaysia khususnya Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama untuk para pelabur.

“Saya percaya Menteri Kewangan juga setuju bahawa untuk mendapatkan pelaburan semula adalah lebih sukar berbanding mencari pelabur baru.

 

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa kerajaan perlu fokus kepada perkara ini dan mencari penyelesaian terbaik untuk menarik pelabur agar melabur semula di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata bahawa pihaknya akan bertemu dengan pemain-pemain industri bagi mencari penyelesaian terbaik untuk memulihkan keadaan ekonomi yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Kita akan bincangkan beberapa strategi untuk meneliti kerjasama yang boleh dijalinkan antara satu sama lain bagi mengatasi kesan daripada penukaran wabak ini secepat mungkin,” ulasnya.

Terdahulu, Kon Yeow diberi taklimat khas berkaitan operasi syarikat, fasiliti, pengeluaran peralatan oleh syarikat pembuatan peralatan perubatan, Boston Scientific sebelum mengadakan sesi dialog bersama-sama pemain industri.

Lawatan kira-kira tiga jam itu ditamatkan dengan sesi libat urus pemulihan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui penjanaan pekerjaan dan peniagaan bersama-sama penggiat industri utama dekat ibu pejabat NCER, Bukit Minyak di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD