Pulau Pinang mampu capai 80 peratus suntikan dos pertama Isnin ini

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa negeri Pulau Pinang berupaya mencapai 80 peratus suntikan vaksin dos pertama bagi populasi dewasa pada Isnin ini (23 Ogos 2021).

Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa perkara itu adalah bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang disalurkan ke negeri ini di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Pulau Pinang juga dijangka akan mencapai 50 peratus suntikan vaksin bagi dos kedua pada Rabu (25 Ogos 2021).

Ketua Menteri semasa meninjau operasi di PPV RiVAC dekat Design Village Mall sebentar tadi.

“Peratusan dos kedua ini adalah penting sebagai nilai ambang yang ditetapkan untuk membolehkan Pulau Pinang beralih ke fasa-fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negera (PPN).

“Namun begitu, setiap dos sebenarnya adalah penting kerana kita perlu memberi perlindungan kepada seluruh rakyat dalam pelbagai sektor di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan (RiVAC) dekat Design Village Mall di sini sebentar tadi.

Proses pendaftaran berjalan lancar dan sistematik.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengarah KPDNHEP, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar serta Ketua Bahagian Operasi PE Land (PNG) Sdn. Bhd., Andy Song Chun Boon.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa jumlah bekalan vaksin yang sepatutnya diterima oleh setiap negeri termasuk Pulau Pinang bakal dikurangkan pada minggu ini.

“Walaupun terdapat kekangan (bekalan vaksin), tetapi kita akan teruskan program ini (PICK) kerana Pulau Pinang masih mampu mencapai kira-kira 30,000 suntikan harian bagi dos pertama dan kedua.

“Malah, kita juga yakin Pulau Pinang akan mencapai sasaran 100 peratus bagi dos pertama pada awal bulan September manakala suntikan dos kedua pula akan selesai pada Oktober ini.

Ketua Menteri menyantuni salah seorang penerima vaksin.

“Selain vaksinasi, kita juga suarakan keprihatinan mengenai peningkatan kes di Pulau Pinang dan keperluan untuk menambah kemudahan perubatan bagi menghadapi peningkatan kes,” ujarnya.

Terdahulu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal menerima sebanyak 917,220 dos vaksin bagi bulan Ogos yang akan dihantar secara berperingkat.

Difahamkan, sebanyak 188,875 dos akan dihantar pada minggu pertama bulan Ogos; 236,200 (minggu kedua); 163,800 (minggu ketiga) dan 328,345 pada minggu keempat.

PPV RiVAC Design Village turut menyediakan kemudahan photo booth.

Sementara itu, Hasnol memaklumkan sebanyak sembilan PPV RiVAC dibuka di negara ini melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

“RiVAC merupakan program sokongan kepada PICK yang dijalankan oleh kerajaan yang mana sebahagian pekerja di sektor peruncitan boleh menggunakan kemudahan berkaitan.

“Sehingga kini, RiVAC telah berjaya memberikan suntikan vaksin kepada seramai 45,960 individu dan daripada jumlah itu, seramai 13,500 telah menerima dos kedua.

“Justeru, kita menggesa para majikan supaya menyertai program ini untuk memastikan pekerja masing-masing divaksin bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR