Pulau Pinang mampu muncul sebagai hab pendidikan cemerlang serantau – Malik

Sejarah pendidikan awal di PulauPinang

LAZIMNYA, sejarah pendidikan formal dalam kelompok masyarakat hanya akan bermula apabila sesebuah institusi rasmi pendidikan ditubuhkan, namun dalam konteks Islam ia telahpun lama bertapak apabila terdapatnya surau atau masjid didirikan.

Meskipun pendidikan awal lebih bersifat keagamaan, sistem pendidikan di surau dan masjid hakikatnya telah menyumbang ke arah pembangunan pendidikan awal Islam negara ini. Kedudukan Pulau Pinang yang strategik bukan sahaja terkenal sebagai pusat perdagangan penting, malah juga membuka laluan kepada perkembangan aspek lain di negeri ini khususnya dalam hal-hal pendidikan.

Nama-nama ilmuwan agama seperti Haji Mohammad Salleh, Syed Sheikh AlHadi, Sheikh Haji Abdullah Fahim, Haji Salleh Masri, Sheikh Uthman Jalaluddin dan Haji Thalib @ Muthalib Puteh sering menjadi rujukan serta memberi signifikan terhadap perkembangan pendidikan agama Islam di negeri ini.

Pernah mendapat jolokan ‘Silicon Valley of the East’

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, pembangunan pendidikan sama ada formal mahupun agama bertapak kukuh di Pulau Pinang sehinggalah Tun Dr. Lim Chong Eu dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kedua pada Mei 1969, pembangunan pendidikan turut berkembang sejajar dengan pembangunan negeri sehingga mendapat jolokan ‘Silicon Valley of the East’ ketika itu.

Namun, selesa dengan kemajuan yang dicapai oleh negeri ini sehingga satu tahap dikatakan Pulau Pinang berada dalam ‘sleeping mode’…tahun 2008 menyaksikan peralihan tampuk pentadbiran. Pakatan Rakyat Pulau Pinang (ketika itu) di bawah pimpinan Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, tidak menunggu lama untuk ‘mengejutkan semula’ Pulau Pinang.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih, pimpinan negeri dapat melihat potensi untuk mengembalikan sinar Pulau Mutiara.

Dan sejak memegang portfolio Exco Hal Ehwal Agama pada 2009, Abdul Malik merasakan bahawa Pulau Pinang perlu mencontohi Andalusia (sekarang Sepanyol) yang merupakan Pusat Peradaban Islam terkemuka dan sangat penting di dunia suatu ketika dahulu.

“Tambahan pula, sejak sebelum kemerdekaan, sekolah-sekolah vernakular wujud seperti Penang Free School, Han Chiang High School termasuk perkembangan sekolah-sekolah pondok dan madrasah menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pendidikan.

“(Dan) dengan berinspirasikan kegemilangan Andalusia serta kegigihan Mufti Perlis, Dr. MAZA (Mohd. Asri Zainul Abidin) yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dalam memartabatkan pendidikan Islam termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah membuatkan saya untuk meneruskan perjuangan tersebut.

“Apatah lagi, Ketua Menteri Pulau Pinang kini, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang tidak jemu-jemu menyokong perkembangan pendidikan Islam di negeri ini, kerana sekiranya tiada sokongan daripada pemimpin, maka segalanya hanyalah mimpi semata-mata,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara AINUL WARDAH SOHILLI dan Jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di pejabatnya baru-baru ini.

Kerajaan Negeri terap cara pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz

Menerapkan tatacara pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz iaitu pemerintahan bersih, berorientasikan rakyat serta berpandangan jauh demi kemajuan ummah menjadi kunci pemartabatan syiar Islam di Pulau Pinang.

“Jadi bermula pada tahun 2008, Ketua Menteri mencetuskan idea untuk memberi bantuan dan insentif sokongan kepada sekolah-sekolah agama, bermula dengan hanya RM900,000 kemudian ditambah menjadi RM1.5 juta pada tahun 2009 dan menjadi RM1.75 juta pada tahun 2010.

“Melalui peruntukan inilah terbinanya makmal sains pertama Sekolah Agama Rakyat (SAR) seumpamanya di Pulau Pinang iaitu di Madrasah Al-Aminiah di Jalan Permatang Nibong, Permatang Pauh pada 2009.

“Selain itu, melalui peruntukan ini juga disalurkan kepada Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Maahad Tahfiz, SAR, Tadika Islam (TADIS) dan sekolah pondok seluruh negeri.

“(Dan) pada tahun 2017, sebanyak RM1,763,698 ini juga disalurkan sebagai pemberian ex-gratia, bonus dan bantuan khas kepada guru-guru KAFA (Kelas Asas Fardhu ‘Ain), guru SAR, guru sekolah pondok dan TADIS yang langsung tidak diberikan semasa kerajaan terdahulu.

“Manakala, bagi pembangunan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah pula telah diperuntukkan sebanyak RM2.15 juta pada tahun 2017 dan RM2.8 juta bagi tahun ini (2018) di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“ Kita (Kerajaan Negeri) juga memanfaatkan sumber daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP)…sebagai contoh 2017, kita membelanjakan RM29.4 juta untuk pendidikan termasuk pemberian biasiswa, bantuan tajaan dan bantuan permulaan lanjut pelajaran… tahun sebelumnya (2016) lebih kurang RM30.2 juta,” katanya.

Usaha melahirkan generasi tahfiz seimbang

Atas inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008, seramai 103 hafiz dan hafizah (penghafaz al-Quran) menerima insentif RM300 seorang dan sejak itu, bilangan hafiz terus bertambah saban tahun sejajar dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk melahirkan ‘Satu Keluarga, Satu Hafiz’.

Tahun lalu, seramai 600 hafiz menerima sumbangan tahunan ini bagi menghargai kesungguhan dan jasa mereka memelihara kitab suci al-Quran dalam Majlis Ijtimak Al-Huffaz kali ke-10.

“Malah, pusat pengajian tahfiz di Pulau Pinang juga bercambah bagai cendawan selepas hujan dek permintaan yang tinggi daripada umum.

“Sehingga 2017, sebanyak 51 pusat pengajian tahfiz berdaftar dan kira-kira 20 yang lain berdaftar sementara ada di sini (Pulau Pinang), ini secara tidak langsung mendorong Kerajaan Negeri untuk memperhalusi kewujudan pusat pengajian tahfiz di negeri ini.

“Selain bermatlamat melahirkan golongan hafiz yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu al-Quran, Kerajaan Negeri juga mahu melahirkan generasi huffaz yang profesional yang celik sains seperti cendikiawan Muslim dahulu.

“(Dan) inilah komitmen Kerajaan Negeri ke arah melahirkan lebih ramai huffaz yang berkemahiran dan profesional,” jelasnya.

Pulau Pinang mahu KITAB dinaik taraf jadi universiti

Abdul Malik dalam pada itu juga mahu memajukan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang atau KITAB sebagai sebuah universiti.

“Buat masa ini, kita (Kerajaan Negeri) akan tekadkan iltizam untuk melihat KITAB ini menjadi sebuah kolej universiti seterusnya dinaik taraf menjadi universiti untuk melihat tradisi keilmuan Islam dimartabatkan di negeri ini meskipun kita
pernah cuba mencadangkannya pada Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11, namun tidak berjaya.

“(Dan) masih berusaha pelbagai cara antaranya mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama PPP iaitu ‘publicprivate partnership’ untuk mengadakan kampus tetap bagi KITAB pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga sangat bersyukur apabila menjadi sebahagian daripada jawatankuasa Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang membolehkan pelbagai isuisu pendidikan agama Islam dibincangkan
dan diselaraskan.

“Baru-baru ini Pulau Pinang telah menjadi tuan rumah bagi Persidangan LEPAI Kali Ke-49 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Noor, dan ini penting kerana ia merupakan platform utuh untuk membincangkan beberapa perkara termasuk dasar berkaitan pengurusan pendidikan agama Islam dan hala tujunya di Malaysia.

“Selain itu, usaha untuk meluaskan jaringan strategik bersama-sama Universiti Islam Malaysia (UIM) turut dilakukan bagi memperkasakan bidang pendidikan tinggi berlandaskan pengajian Islam.

“Semua inisiatif ini dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan akan diteruskan pada masa hadapan demi kelangsungan pendidikan agama Islam di negeri ini,” ujar beliau.