Rejuvenasi bawa nilai tambah bandar Warisan Dunia George Town

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Inisiatif merejuvenasikan semula kawasan bandar raya George Town dengan menerapkan pelaksanaan strategi melalui pendekatan hubungan awam – swasta (3P) tidak hanya tergalas pada bahu pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya juga komuniti di sekitarnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian dengan mengambil contoh bandar-bandar lain seluruh dunia yang telah berjaya ‘meremajakan’ semula kawasan kurang menarik kepada penuh warna-warni.

“Projek George Town BIDS atau Business Improvement District Scheme merupakan usahasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi ‘meremajakan’ semula sesebuah kawasan.

“Misalnya di kawasan Kompleks Tun Abdul Razak atau Komtar yang merupakan simbol keunikan Pulau Pinang ‘diremajakan’ semula seperti kegemilangannya sekitar tahun 1990-an…mentransformasikannya sebagai destinasi membeli-belah baharu dan membawa nilai tambah terhadap bandar Warisan Dunia UNESCO George Town.

“Bagi projek di Jalan Magazine ini, lorong belakang sepanjang 135 meter dengan keluasan 870 meter persegi dibangunkan semula menggunakan blok-blok bata dan kayu yang dikitar semula sekaligus ‘menolak’ persepsi negatif tentang lorong belakang,” ujarnya sejurus perasmian Kerdipan Bintang @ Lilitan Magazine, Jalan Magazine di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang serta barisan Ahli Majlis MBPP.

Pengarah Urusan M Summit Group, Datuk Albert Moh juga hadir memeriahkan perasmian tersebut.

Mengulas mengenai Projek George Town BIDS, Kon Yeow memberitahu bahawa ia merangkumi kawasan seluas 85.23 ekar sehingga ke Jalan Datuk Keramat, Jalan Penang, Jalan Magazine dan Jalan Dr. Lim Chwee Leong.

“Menerusi projek ini, beberapa pembaharuan dilaksanakan antaranya pembinaan laluan pejalan kaki baru di sini (Jalan Magazine) dan Jalan Penang oleh MBPP, menaik taraf jejantas ‘sotong’ (di bawah program tanggungjawab sosial korporat) serta cadangan pelan konsep pemajuan ‘green connectors’ dari Komtar Fasa 5 ke Komtar Walk oleh PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang).

“Banyak lagi perancangan yang perlu diambil kira, dan George Town sebagai bandar pertama di Asia yang menerajui Projek BIDS ini, kita akan teruskan serta menjadikan Pulau Pinang sebagai peneraju pembangunan bandar terulung dalam negara dan rantau ini,” katanya yang turut tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai juadah ringan yang disajikan penjaja tempatan di sini.

Dikenali sebagai Kerdipan Bintang @ Lilitan Magazine, kawasan tersebut amat sesuai bagi mereka yang ingin merakamkan kenangan terindah dengan kerdipan lampu kecil LED ‘terhampar’ luas bak bintang di langit. Jom!