Pulau Pinang masih berusaha tuntut 20 peratus hasil cukai dikembalikan kepada negeri

Admin
img 20261105 wa0041

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperjuangkan tuntutan supaya sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dipungut di negeri ini dikembalikan semula bagi membiayai keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tuntutan tersebut bukan sahaja melibatkan aspek pengagihan hasil yang lebih adil, malah turut merangkumi hak dan fleksibiliti Kerajaan Negeri untuk menentukan keutamaan serta mengurus perbelanjaan peruntukan berkenaan.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat diselaraskan dengan dinamika ekonomi, keperluan setempat dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Negeri menghargai kelulusan peruntukan berbilion ringgit oleh Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.

“Sebagaimana diperjuangkan selama ini, Kerajaan Negeri menyokong cadangan agar sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dipungut di negeri ini dikembalikan semula kepada Pulau Pinang,” katanya ketika pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi sebagai respons kepada cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mengenai perkara itu.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata, pendirian berkenaan akan terus dikemukakan melalui saluran perundangan dan kewangan yang bersesuaian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Perhubungan Persekutuan-Negeri atau Suruhanjaya Geran Persekutuan-Negeri bagi menyokong semakan formula pengagihan hasil melalui Majlis Kewangan Negara.

Menurutnya, mekanisme tersebut diharap dapat memastikan pengagihan hasil dilaksanakan secara lebih telus dan seimbang dengan mengambil kira sumbangan ekonomi serta keperluan setiap negeri.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyentuh cadangan memperluas penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) bagi membiayai projek tebatan banjir, beliau menjelaskan bahawa penggunaannya masih tertakluk kepada skop dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Tambahnya, peruntukan MARRIS sedia ada juga belum mencukupi untuk menampung keperluan sebenar penyenggaraan jalan serta kerja-kerja lain yang dibenarkan di bawah skop semasa.

Sehubungan itu, Kon Yeow berpandangan bahawa sebarang cadangan peluasan skop penggunaan dana berkenaan perlu disertai pertambahan peruntukan bagi memastikan keutamaan penyenggaraan jalan negeri tidak terjejas.

“Peluasan skop perlu disertai tambahan peruntukan agar tidak menjejaskan keutamaan penyenggaraan jalan negeri,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Sebagai respons kepada celahan ADUN Bukit Tengah, Kon Yeow menjelaskan bahawa usaha mendapatkan kelonggaran atau pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memperjuangkan hak dan kepentingan negeri-negeri bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kerjasama serta kesepakatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang telah mengambil inisiatif menganjurkan satu persidangan melibatkan penyertaan negeri-negeri lain bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 13 negeri telah dijemput menyertai persidangan itu, dengan tujuh negeri hadir, termasuk negeri-negeri yang mempunyai perbezaan haluan politik.

Mengulas lanjut, beliau menyeru semua negeri supaya terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan prinsip keadilan, amanah dan harapan rakyat dapat dipelihara dalam hubungan antara kedua-dua peringkat pentadbiran.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk negeri-negeri perlu melangkaui perbezaan politik, sebaliknya berteraskan kepentingan rakyat dan keseimbangan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI