Pulau Pinang minta MOT nilai semula penggantian perkhidmatan feri baharu

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam memaklumkan bahawa hanya 200,000 kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri sedia ada di negeri ini dalam tempoh setahun.

 

Menurut beliau, daripada 1.5 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri pada tempoh berkenaan, seramai 1.2 juta adalah orang awam.

 

“Feri sekarang usianya 47 tahun, hendak cari alat ganti pun tiada, jadi terpaksalah kita gunakan katamaran.

 

“(Dan) dalam soal ini, oleh kerana sudah ada jambatan pertama dan kedua, perkara ini dapat diredakan melalui sistem (pengangkutan) yang ada,” responsnya ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanjong yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Parlimen semalam.

 

Terdahulu Kon Yeow membangkitkan pertanyaan berhubung penggantian perkhidmatan feri yang bakal dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2022.

 

“(Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah menerima maklum perkembangan terakhir rancangan perkhidmatan feri baru minggu lepas.

 

“Isu yang dibangkitkan adalah feri yang ikonik itu akan ditamatkan (perkhidmatan) dan digantikan dengan katamaran yang tiada ruang untuk kenderaan.

 

“Jadi, saya berharap Menteri (Pengangkutan) akan menilai kembali dan membenarkan feri sedia ada dibangunkan semula supaya kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri kini dapat juga merasai perkhidmatan feri baharu yang bakal dipesan oleh MOT ataupun Penang Port Sdn. Bhd.,” ujarnya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.

 

Dalam mesyuarat sama, Kon Yeow turut membangkitkan persoalan berhubung permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menggunakan peruntukan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas, meskipun sebelum ini telah banyak pertemuan bersama-sama pemegang taruh diadakan.

 

Tambahan pula, beliau menyatakan bahawa permohonan untuk mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan bagi membenarkan Kerajaan Negeri mendapatkan pinjaman atau mengeluarkan bon bagi tujuan bridging finance (pinjaman jangka pendek) bagi projek berkenaan juga tidak disokong.

 

“Di satu ‘tangan’ Kerajaan Persekutuan tidak membiayai dan dalam ‘tangan’ yang lain pula tidak memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk membiayai sendiri termasuk tambakan pulau-pulau di bahagian selatan Pulau Pinang,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan atas kelulusan bersyarat bagi jajaran LRT Bayan Lepas walaupun masih ada beberapa isu teknikal perlu dimuktamadkan nanti.

 

Sebagai respons, Ka Siong memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) selaku kementerian teknikal tidak mempunyai apa-apa masalah sekiranya sesuatu projek pembangunan yang dibincangkan bersama-sama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mendapat ‘restu’.

 

“Tidak menjadi masalah sama ada menggunakan dana melalui Peruntukan Pembangunan atau apa-apa cara sekalipun kerana kita (MOT) adalah agensi pelaksana, jadi itu tidak menjadi suatu masalah,” maklumnya.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI