Pulau Pinang mohon peruntukan Pusat bagi meneruskan penyelenggaraan perumahan – Exco

Admin

DATUK KERAMAT- Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo telah meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar meneliti semula permohonan kerja-kerja naik taraf skim perumahan kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) yang pernah dimohon pihak Kerajaan Negeri sebelum ini.

Jelasnya daripada 149 permohonan yang dimohon melalui Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia (TP1M) dana Kerajaan Pusat terdahulu, cuma 29 projek diluluskan.

“Saya minta kepada Kerajaan Pusat melalui Menteri di KPKT, Zuraida Kamaruddin agar peruntukan ini dapat disalurkan kerana di bawah kerajaan (pusat) terdahulu, Pulau Pinang telah dianaktirikan.

“Dia (Zuraida) turut memberikan komitmen bahawa beliau akan memberikan perhatian kepada Pulau Pinang dalam hal ini,” ujar Jagdeep ketika melawat projek naik taraf tembok di Blok 33, Taman Soon Boon Kee, Jalan Makloom pagi ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat dan badan pengurusan Blok 33.

Sehubungan dengan itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa sejajar dengan komitmen Zuraida, beliau turut mengemukakan permohonan kira-kira RM14 juta bagi meneruskan baki projek yang belum diluluskan.

Sebelum itu, Jagdeep hadir bagi mengumumkan kerja-kerja naik taraf tembok di Blok 33,  Taman Soon Boon Kee, Jalan Makloom di sini.

Menurut beliau. Kerajaan Negeri menampung 60 peratus kos projek  iaitu kira-kira RM30,000  melalui peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP),  manakala baki 40 peratus ditampung penduduk taman tersebut (RM20,000).

“Saya melihat naik taraf tembok ini merupakan perkara penting kerana ianya melibatkan aspek keselamatan penduduk,” ujarnya lanjut.

Menutup tahun 2018, Jagdeep menyatakan sejak tahun 2013 sehingga Disember 2018 sebanyak 210 permohonan telah diluluskan melalui TPM80PP melibatkan dana Kerajaan Negeri sebanyak RM31.2 juta.

Antara projek-projek diluluskan termasuklah, menaiktaraf/menggantikan lif, penggantian tangki air/perpaipan, menaiktaraf bumbung, pengecatan, penurapan, naik taraf pagar, keretakan, penggantian jeriji dan kelulusan khas bencana,” katanya lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD