Pulau Pinang mohon peruntukan Pusat bagi projek penyelenggaraan perumahan

Admin

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja penyelenggaraan skim-skim perumahan di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengutuskan sepucuk surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 23 November lalu bagi memohon dana penyelenggaraan skim-skim perumahan.

“Dalam surat tersebut, dua perkara utama yang disuarakan adalah permohonan bagi mendapatkan dana berjumlah RM600,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan skim perumahan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang.

“Keduanya pula, adalah permohonan peruntukan berjumlah RM14 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan lain-lain skim perumahan di negeri ini, dan pastinya saya berharap untuk menerima berita baik daripada pihak Kementerian (KPKT),” ujarnya sejurus memaklumkan kelulusan dana kerja-kerja menaik taraf tiga lif di Flat Medan Ria dekat sini pagi ini.

JAGDEEP Singh Deo.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perumahan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan), Bahagian Perumahan Negeri, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff serta wakil persatuan penduduk Flat Medan Ria.

Menurut Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, sejak 2013, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP) bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan di skim-skim perumahan terpilih di negeri ini.

“Sejak diperkenalkan sehingga hari ini, sejumlah 209 permohonan telah diluluskan melalui TPM80PP ini melibatkan 359 projek penyelenggaraan dengan kos diluluskan berjumlah RM31.08 juta.

“Malah, bagi tahun 2019, seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melalui Bajet 2019, sejumlah RM6.8 juta dana telah diluluskan bagi meneruskan inisiatif di bawah TPM80PP ini.

“Saya amat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memahami keperluan bagi meneruskan tabung tersebut dan saya ingin nyatakan bahawa saya akan mengambil suatu pendekatan dan strategi baharu bagi memperkasakan lagi pelaksanaan projek penyelenggaraan di skim-skim perumahan di Pulau Pinang,” jelasnya.

Bagi kerja-kerja menaik taraf tiga lif di Flat Medan Ria, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM195,200 iaitu 80 peratus daripada kos keseluruhan RM244,000 di bawah TPM80PP.

Manakala baki, 20 peratus lagi iaitu RM48,800 dibiayai oleh penduduk melalui persatuan penduduk Flat Medan Ria.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN