GEORGE TOWN – Sektor pelancongan Pulau Pinang dijangka terus berkembang pada 2027 menerusi pengukuhan jaringan penerbangan, pembangunan infrastruktur pelancongan serta penganjuran acara perniagaan.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) merekodkan 5.43 juta pergerakan penumpang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat sebanyak 208,982 pergerakan atau kira-kira empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Pulau Pinang adalah ‘Mutiara Pelancongan Negara’, kekayaan warisan dan kepelbagaian tarikan negeri menjadi ramuan unik kepada perkembangan sektor pelancongan Pulau Pinang,” ujarnya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut beliau, Pulau Pinang kini mempunyai hubungan penerbangan dengan 21 bandar antarabangsa, selain 278 penerbangan seminggu bagi laluan domestik, manakala pembukaan laluan baharu ke Batam, Indonesia dan Haikou, China dijangka memperluas akses pelancong antarabangsa ke negeri ini.
Mengulas mengenai projek pembesaran PIA, Kon Yeow menyatakan bahawa projek bernilai RM1.55 bilion itu sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti lapangan terbang kepada 12 juta penumpang setahun.
“Sehingga Oktober 2026, pakej pertama projek berkenaan telah siap sepenuhnya, manakala pakej kedua sedang giat dilaksanakan dan pakej ketiga yang melibatkan terminal utama berada pada peringkat pretender,’’ ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, tambah beliau, impak ekonomi daripada penganjuran acara perniagaan menerusi Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) dijangka mencecah RM1.9 bilion pada 2026 sebelum meningkat kepada RM2.2 bilion menjelang 2027.
“Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang sedang dalam pembinaan turut dijangka menjadi tarikan ikonik baharu apabila mencapai kemajuan keseluruhan 32 peratus setakat ini.
“Projek itu dijangka siap pada Ogos 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada suku keempat tahun sama,” jelasnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Justeru, bagi meneruskan kecemerlangan sektor pelancongan negeri, sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pelancongan negeri, termasuk George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Penang Global Tourism (PGT) dan PCEB bagi 2027.
Dalam pekembangan sektor keterjaminan makanan pula, Kerajaan Negeri bakal menyediakan peruntukan pembangunan sektor pertanian sebanyak RM6.5 juta pada 2027 dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran sayur-sayuran serta padi merangkumi mekanisasi, penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), pembangunan petani pelapis serta pengukuhan Industri Asas Tani dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan.
“Bantuan Sara Hidup secara one-off sebanyak RM500 kepada 6,510 pesawah padi dan petani sayur sedang disalurkan tahun ini, melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.25 juta yang dijangka selesai menjelang akhir tahun.
“Selain itu, projek Penang Durian Valley @ Relau di Pusat Pertanian Relau, melibatkan kawasan seluas 22.3 ekar, dijangka siap pada akhir suku pertama 2027 dengan kemajuan fizikal sebanyak 51.87 peratus setakat 15 Oktober lalu.
“Projek menerusi Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) itu akan diuruskan oleh Penang Agrotech Sdn. Bhd. bagi memangkin pembangunan agropelancongan, meningkatkan nilai komersial durian serta memperluas peluang ekonomi kepada pengusaha dan komuniti pertanian tempatan,” jelasnya merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mengulas lajut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut meneroka teknologi pertanian moden menerusi kerjasama dengan Fujian Agriculture and Forestry University (FAFU), China dan Penang Agrotech Sdn. Bhd., dengan projek perintis di Balik Pulau kini berada pada peringkat kajian dan percubaan.
“Teknologi padi ratun yang berpotensi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi serta mengurangkan kos operasi pesawah itu akan dinilai berdasarkan kesesuaiannya dengan keadaan tanah, sistem pengairan dan iklim tempatan sebelum diperluas ke kawasan lain.
“Dalam sektor akuakultur, usaha mempergiat penternakan ikan dalam sangkar akan diteruskan dengan melibatkan lebih 224 pengusaha sangkar ikan marin, selain menggalakkan amalan akuakultur yang baik dan penyelidikan kesihatan ikan bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan risiko penyakit.
“Pulau Pinang turut dikenal pasti berpotensi menjadi lokasi pendaratan tuna bagi vesel yang beroperasi di Lautan Hindi, khususnya di Dermaga Ayer Dalam.
“Sehingga Oktober 2026, sebanyak 36 lesen vesel telah dikeluarkan kepada enam syarikat, manakala pendaratan tuna pada 2025 direkodkan sebanyak 3,051.6 tan metrik,” ulasnya lanjut.
Dalam pekembangan berkaitan, maklum beliau, seramai 45 peserta projek pembangunan industri ternakan menerima peruntukan keseluruhan RM972,500 tahun ini bagi kerja menaik taraf reban dan kandang, perolehan baka serta penyediaan peralatan penternakan.
“Secara keseluruhan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bakal menerima peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM5.52 juta pada 2027 bagi meneruskan usaha memperkukuh industri ternakan di Pulau Pinang,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS