Pulau Pinang negeri berdaulat, tidak akan layan tuntutan Menteri Besar Kedah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengulangi pendirian untuk tidak akan mempertimbangkan sebarang tuntutan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri berdaulat yang telah diiktiraf dalam Persekutuan Malaysia dan sebarang tuntutan harus melalui penilaian undang-undang.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak ada sebarang keperluan untuk menimbang apa-apa tuntutan daripada Kerajaan Negeri Kedah.

“Justeru, Kerajaan Negeri menyarankan supaya apa sahaja dakwaan berhubung dengan isu ini (Pulau Pinang milik Kedah) sewajarnya dicermati dan diberi penilaian secara mendalam dan menyeluruh dari aspek undang-undang.

“Langkah ini penting untuk mengelakkan timbulnya kekeliruan dan kegelisahan yang tidak perlu dalam kalangan rakyat khasnya di negeri Pulau Pinang,” tegasnya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Kon Yeow turut menyeru kepada semua wakil rakyat di negeri ini untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negeri Pulau Pinang.

“Apabila kedaulatan negeri Pulau Pinang dipersoal, saya percaya semua Ahli Dewan (Undangan Negeri Pulau Pinang) sama ada pihak kerajaan atau pembangkang terpanggil untuk mempertahankan kedaulatan negeri ini,” ujarnya.

Tambah Kon Yeow, sehingga kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum menerima apa-apa tuntutan rasmi daripada Menteri Besar Kedah mengenai perkara yang dibangkitkan tersebut.

“Saya tidak dengar pun suara Menteri Besar Kedah membangkitkan isu ini dalam forum yang melibatkan Perdana Menteri, Menteri Bsesar dan semua Ketua Menteri.

“Mungkin beliau tidak berani membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat rasmi tetapi cuma berani sebut di luar melalui kenyataan-kenyataan atau respons kepada media sahaja.

“Namun, sekiranya Menteri Besar Kedah serius mengenai perkara ini, beliau sepatutnya menulis kepada Kerajaan Persekutuan dengan terang dan jelas tentang perkara yang dibangkitkan,” ulasnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD