Pulau Pinang negeri ketiga tertinggi jumlah bangunan hijau

SEBERANG JAYA – Pulau Pinang merupakan negeri ketiga tertinggi di dalam negara yang mempunyai jumlah bangunan dengan penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata sehingga kini Pulau Pinang mempunyai sebanyak 59 bangunan yang mempunyai penarafan GBI merangkumi kawasan lantai seluas 23.3 juta kaki persegi.

Beliau berkata, dengan keluasan tersebut, Pulau Pinang dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekitar 69.5 tan metrik setahun.

Jagdeep Singh Deo ketika merasmikan Taman Rekreasi Awam ‘Sembilang Symbiosis’dekat sini semalam.

“Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif penarafan bangunan hijau bagi memastikan sasaran untuk menjadi Bandar Rendah Karbon tercapai.

“Selain GBI, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan penggunaan sistem-sistem penarafan bangunan hijau yang lain bagi menyokong pembangunan Bandar rendah Karbon di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman Rekreasi Awam ‘Sembilang Symbiosis’ dekat sini pada 26 Mac lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiasausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan wakil-wakil daripada Jabatan Landskap Negara.

Menyampaikan penghargaan kepada ‘Wira Oren’ MBSP.

Mengulas mengenai pembangunan Taman Rekreasi Awam ‘Sembilang Symbiosis’, Jagdeep memberitahu bahawa projek tersebut merupakan antara langkah Kerajaan Negeri bagi menambah baik kemudahan rekreasi sedia di negeri ini.

“Pembangunam taman rekseasi ini adalah merupakan antara projek di bawah Program Pembangunan Persekitaran Kehidupan dan
Naiktaraf Taman Awam, Jabatan Landskap Negara dengan kos keseluruhan betjumlah RM435,930.

“Projek ini juga dapat memberi nilai tambahan ke atas kawasan kawasan lapang sedia ada yang berfungsi sebagai Green Lung untuk kegunaan masyarakat setempat,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 452 batang pokok telah ditanam di kawasan tersebut.

Antara kemudahan yang dinaik taraf.

Sementara itu, Azhar memberitahu bahawa projek tersebut dibangunkan dalam tempoh 17 minggu bermula dari 17 September 2021 sehingga 14 Januari 2022.

“Ia merupakan sebahagian daripada program membangunkan lot permainan dan padang permainan di taman rekreasi awam yang strategik di Seberang Perai.

“Antara kemudahan awam yang dinaik taraf di tamam ini adalah membabitkan laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal, dataran kejat, gelanggang serbaguna, alat permainan bersepadu dan individu, kerusi taman, wall Climbing, gimnasium, papan tanda nama serta wakaf.

“Taman ini digelar ‘Sembilang Symbiosis’ kerana menggunakan persekitaran sedia ada yang saling bergantung antara satu sama lain dan diterjemahkan dalam reka bentuk yang kontemporari.

“Pelbagai kemudahan rekreasi disediakan untuk masyarakat pelbagai lapisan daripada kanak-kanak sehingga dewasa di taman ini diterjemahkan dalam reka bentuk yang kontemporari,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP