Pulau Pinang negeri mesra basikal

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Inisiatif Kerajaan Negeri mengambil kira penyediaan infrastruktur bagi peminat-peminat sukan berbasikal berjaya memperlihatkan Pulau Pinang sebagai negeri pertama dalam negara yang ‘mesra basikal’.

Ini adalah ekoran pengiktirafan diterima Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam kategori penyediaan laluan basikal bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2011 bertemakan, Sustainable Development: Green Urbanism baru-baru ini.

ANTARA peminat sukan berbasikal yang hadir pada Majlis Rak Basikal Serta Risalah Trek Mendaki dan Basikal Bukit Taman Belia di sini baru-baru ini.
ANTARA peminat sukan berbasikal yang hadir pada Majlis Rak Basikal Serta Risalah Trek Mendaki dan Basikal Bukit Taman Belia di sini baru-baru ini.

Selain itu, sepanjang tempoh empat tahun Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) memerintah negeri Pulau Pinang, 81 kilometer trek basikal telah diwujudkan. Antaranya adalah di laluan Persisir Batu Maung, Queensbay, Pantai Jerejak, Zon Warisan George Town, Persiaran Gurney – Teluk Bahang – Bayan Lepas dan perkampungan Balik Pulau di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan trek dan inisiatif-inisiatif khas tersebut menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menggalakkan aktiviti sukan berbasikal yang bukan sahaja sihat, malah, juga merupakan salah satu mod pengangkutan diperbaharui semula dalam sistem lalulintas untuk mewujudkan keseimbangan, bersepadu dan mampan untuk penjagaan alam sekitar.

“Serentak itu, MPPP turut mensyaratkan para pemaju menyediakan laluan basikal dan tempat meletak basikal bagi projek-projek pembangunan baru bagi merancakkan lagi aktiviti ini.

“Secara tidak langsung, langkahlangkah diambil bakal menjadi batu loncatan bagi memartabatkan hub basikal negeri ini ke peringkat Asia,’’ katanya ketika Majlis Rak Basikal Serta Risalah Trek Mendaki dan Basikal Bukit Taman Belia di sini barubaru ini.

Bersempena penganjuran yang turut memperlihatkan inisiatif penambahan dua buah rak basikal di Taman Belia, seramai 7,000 awam termasuk 2,000 penunggang basikal hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.