Pulau Pinang, negeri pertama wilayah utara miliki rangkaian 5G

GEORGE TOWN – Rangkaian 5G kini tersedia di Pulau Pinang sekali gus memberi nilai tambah dan nilai komersial bermutu tinggi dalam memacu peningkatan ekonomi digital negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan pelancaran pada hari ini, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di wilayah utara yang mempunyai rangkaian spektrum 5G.

“Pembangunan infrastruktur jaringan komunikasi 5G kini merupakan penggerak utama pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan di seluruh dunia.

Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri amat komited untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi melalui Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang (PCMP) bersama-sama sembilan syarikat telekomunikasi tempatan bagi memastikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang lebih teratur.

“(Dan) dalam usaha menyediakan kemudahan telekomunikasi bertaraf dunia, satu ekosistem digital komprehensif bakal dibangunkan melalui Pelan Induk Transformasi Digital (DTMP) bagi memastikan sasaran pendigitalan ke arah masyarakat yang kreatif, berdaya saing serta ketersambungan,” ujarnya di sini.

(Dari kiri); ZURAIDA Jamaluddin, Wing K. Lee, Chow Kon Yeow, Jagdeep Singh Deo dan Rahmat Abu Nong menunjukkan tanda 5 sebagai simbolik pelancaran rangkaian 5G di Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangkaian 5G di Pulau Pinang di Wisma UAB dekat sini pada 9 September 2022.

Menurut Kon Yeow, sebanyak 151 lokasi di bahagian pulau telah dikenal pasti di bawah Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang Fasa 1 yang mana 58 lokasi adalah struktur telekomunikasi 5G yang baharu dan baki 93 lagi adalah struktur sedia ada yang dinaik taraf ke spektrum 5G.

“Di Seberang Perai, sebanyak 235 lokasi bertaraf 5G bakal dibangunkan pada awal tahun 2023 (melalui Pelan Pelaksanaan 5G di Negeri Pulau Pinang Fasa 2) yang mana tambahan sebanyak 77 struktur di bahagian pulau dengan memfokuskan daerah Timur Laut,” jelasnya.

Sebagai rekod, Pulau Pinang merupakan antara enam negeri di Malaysia yang dipilih untuk melaksanakan Projek Demonstrasi 5G dengan anggaran kos berjumlah RM23.2 juta melibatkan tujuh syarikat telekomunikasi tempatan.

Susulan itu, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas 5G ditubuhkan bagi memastikan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi terutama ketersambungan rangkaian 5G yang lebih pantas.

Dalam pada itu, pada majlis sama, Kon Yeow turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo serta rakan-rakan strategik yang berjaya merealisasikan pelaksanaan 5G di negeri ini.

“Terima kasih kepada Digital Nasional Berhad (DNB) yang bekerjasama erat dalam memastikan pelaksanaan jalur lebar 5G di negeri ini lancar.

“(Dan) kepada YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) selaku peneraju dan pengendali telekomunikasi perkhidmatan 5G kerana menyediakan Pelan ‘YES 5G For All’ dengan menawarkan kapasiti kelajuan mencecah 120Mbps.

“Saya yakin, pelan ini menjadi perintis dan rujukan kepada semua Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Mobile Network Operator, MNO) yang berintegrasi dengan rangkaian untuk liputan 5G kelak.

Saya berharap Pulau Pinang terus maju dalam penyediaan infrastruktur komunikasi 5G yang efisien bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini menikmati capaian internet bertaraf gigabit selaras dengan Visi Penang2030 : Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya.

Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pada suku pertama tahun 2022, Pulau Pinang merekodkan kadar penembusan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk adalah sebanyak 152.6 peratus, melebihi kadar nasional 124.1 peratus.

Manakala, bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) adalah sebanyak 51.2 peratus melebihi kadar penembusan nasional iaitu 41.9 peratus.

WING K.Lee menunjukkan demonstrasi kelajuan rangkaian 5G di sekitar Creative Digital District @ George Town kepada Ketua Menteri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications (YTL), Wing K. Lee ketika melakukan pembentangan memaklumkan bahawa syarikat telekomunikasi itu kini memberi liputan ke seluruh negara pada kadar 92 peratus.

Perkhidmatan 5G adalah pemangkin masa depan negara dan sasaran YES (jenama perkhidmatan rangkaian telekomunikasi ditawarkan oleh YTL) adalah untuk meluaskan inovasi serta perkhidmatan teknologi komunikasi kepada semua.

“(Dan) syarikat kami menjadi syarikat pertama yang melancarkan rangkaian 5G sehingga kelajuan mencecah 620Mbps (berdasarkan sumber DNB).

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang bukan sahaja mudah diakses tetapi juga mampu milik pada kadar serendah RM58 sebulan untuk pelan 5G / 4G,” jelasnya.

Pengarah MCMC Negeri Pulau Pinang, Rahmat Abu Nong dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat DNB, Zuraida Jamaluddin antara kenamaan yang turut hadir pada majlis tersebut.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI