Pulau Pinang niat calonkan ‘Budaya Penjaja’ ke UNESCO secara nominasi gabungan dengan Singapura – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berniat untuk mencalonkan ‘Budaya Penjaja’ dalam Senarai Perwakilan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO di bawah Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage.

 

Walau bagaimanapun, Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, kelulusan mesti diperoleh daripada Jabatan Warisan Negara terlebih dahulu.

 

“Umumnya, budaya penjaja di Pulau Pinang adalah lebih cemerlang dan unik berbanding (budaya penjaja) di Singapura.

 

“(Hal ini kerana), Pulau Pinang masih menjaja di tepi jalan selain di medan-medan penjaja yang disediakan,” ujarnya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas dekat Dewan Sri Pinang di sini petang ini.

 

Mengulas lanjut, Soon Hin memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar surat rasmi ke Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan bagi tujuan pengesyoran serta pertimbangan kelulusan.

 

“Buat masa ini, Kerajaan Negeri telah mengemukakan hasrat ini kepada Jabatan Warisan Negara bagi pencalonan gabungan dengan Singapura di bawah nama ‘Kebudayaan Penjaja di Singapura dan Malaysia’.

 

“(Dan) pihak UNESCO telah menetapkan pencalonan hanya boleh melalui ahli negara dan amat digalakkan secara gabungan bagi mendapat keutamaan dalam Jawatankuasa Pemilihan UNESCO,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD