Pulau Pinang penyumbang terbesar akuakultur marin negara – Pengarah Perikanan

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM1.6 bilion daripada RM3 bilion keseluruhan hasil akuakultur marin negara pada tahun 2017.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata, prospek akuakultur marin di negeri ini bukan sahaja memberi pulangan lumayan, malah turut menjadi penyumbang terbesar dalam sektor perikanan negara.

“Selain nilai hasil laut yang tinggi, Pulau Pinang turut berpotensi besar dalam penternakan ikan sangkar dan ikan hiasan.

“Bagi ikan hiasan, sekiranya boleh digiatkan semula, maka Pulau Pinang bukan sahaja menjadi penyumbang utama bagi penternakan ikan hiasan negara tetapi juga pasaran ke luar negara,” ujarnya pada Sesi Taklimat Khas Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

NORAISYAH Abu Bakar menyampaikan cenderamata istimewa kepada Ketua Menteri sejurus tamat sesi taklimat khas di Komtar, sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin.

Manakala wakil Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang yang turut serta ialah Ketua Cawangan (Akuakultur), Mohd. Baihari Md. Noor; Ketua Cawangan (Pengurusan dan Pemuliharaan), Nabilah Mohammed Yussof; Ketua Perikanan Daerah Seberang Perai, Rozimah Yusof dan Ketua Perikanan Daerah Barat Daya, Jamalel Atan Alang Wahab.

Selain membentangkan tentang profil akuakultur Pulau Pinang, turut dibangkitkan dalam pertemuan selama 90 minit itu adalah mengenai pernternakan tiram; pendaratan penyu di Pusat Konservasi Penyu di Pantai Kerachut, Teluk Bahang; pendaratan tuna di Dermaga Dalam, Seberang Perai Utara serta cadangan penguatkuasaan bagi melindungi sumber laut di negeri ini.

Malah, isu-isu lokal seperti pertindihan tapak penternakan kerang, biosekuriti perikanan, Lesen Pendudukan Sementara bagi sangkar ikan, Lesen Sistem Kultur Laut, isu pengezatan aktiviti perikanan dan isu sangkar tidak berdaftar turut disuarakan.

Noraisyah, dalam pada itu juga berkongsi program-program bantuan kepada nelayan serta hala tuju Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan sektor tersebut terus berkembang pesat dan berpotensi tinggi.

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang yang selama ini komited dalam melaksanakan tanggungjawab memastikan sektor akuakultur negeri malar segar.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN