Pulau Pinang – Perak bincang isu pemindahan air terawat esok

GEORGE TOWN – Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bakal mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan mengenai projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perbincangan awal antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Perak sebelum ini mengenai Projek Air Perak – Pulau Pinang (dahulu dikenali sebagai Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak, SPRWTS) berlangsung dengan baik.

 

Perbincangan esok adalah untuk mencari kesepakatan bagi Projek Air Perak – Pulau Pinang yang mana akan melibatkan perbincangan mengenai pemindahan bekalan air terawat dan bukannya air mentah (dari Perak).

 

“Ini adalah perkembangan terkini dalam usaha menjamin bekalan air berterusan di Pulau Pinang dan berharap dapat dilaksanakan pada kadar segera,” ujarnya pada sesi sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama-sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di Komtar sebentar tadi.

 

 

CHOW Kon Yeow (duduk, tiga dari kiri) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (duduk, empat dari kanan) ketika mempengerusikan bersama mesyuarat bertemu agensi negeri dan Persekutuan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Komtar.

 

 

Terdahulu, Kon Yeow mengalu-alukan kunjungan Nik Nazmi bersama-sama delegasi dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) ke Komtar.

 

Dalam pada itu, pada sidang media sama, Nik Nazmi menyahut baik pertemuan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Perak esok.

 

“Ini adalah perkembangan positif memandangkan Pulau Pinang amat memerlukan sumber air baharu dan bagi pihak Kementerian (NRECC), kami bersedia untuk menjadi pemudah cara sekiranya diperlukan bagi mencapai persetujuan,” katanya.

 

Selain isu projek pemindahan air terawat Sungai Perak, Nik Nazmi turut mengulas mengenai penubuhan pihak berkuasa bebas iaitu Lembaga Lembangan Ulu Muda atau Ulu Muda Basin Authority (UMBA).

 

“Pihak Kementerian (NRECC) telah meneliti contoh pengurusan Murray-Darling Basin Authority (MDBA) yang turut melibatkan beberapa negeri di Australia dan ia sangat relevan.

 

“Namun, pengurusan air terletak di bawah bidang kuasa negeri yang mana isu ini perlu dilihat secara serius untuk mencari mekanisme terbaik bekalan air rentas negeri yang akan memberi keterjaminan air mentah untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” jelasnya.

 

Dalam mesyuarat bersama itu, isu yang turut dibangkitkan adalah mengenai hakisan pantai di Pantai Batu Ferringhi dan Pantai Miami (Tanjung Bunga); Projek Pembesaran Empangan Mengkuang; isu Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbangan (ICPT) membabitkan Ladang Solar di Pulau Pinang dan Projek Stesen Janakuasa di Gelugor.

 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian, Dr. K. Ching Thoo; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Rosli Isa serta wakil daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta agensi negeri dan Persekutuan berkaitan.

 

Difahamkan, Nik Nazmi memulakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang hari ini dengan melawat ke beberapa lokasi pada sebelah pagi antaranya Taman Negara Pulau Pinang; tapak Rancangan Tebatan Banjir Taman Siakap di Seberang Jaya dan Empangan Mengkuang.

 

Usai sesi sidang media, Nik Nazmi dijangka mengadakan lawatan ke Think City bagi melihat Projek Nature Based Climate Adaptation Programme.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD