Pulau Pinang perkenal kaedah baharu Tatacara Mal Mahkamah Syariah

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) memperkenalkan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang berkenaan dengan fi, bayaran elaun dan kos.

Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang, Y.A.A. Muhamad Abdul Karim Wahab berkata bahawa kaedah baru tersebut telah diwartakan pada 8 Oktober 2020 dalam usaha menyelaraskan undang-undang syariah di seluruh negara.

Katanya, kewujudan enakmen itu penting untuk menyuntik impak perubahan dan meningkatkan kemajuan sistem perundangan syariah negeri sekali gus memartabatkan imej Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

“Usaha dan cadangan untuk menyelaraskan kutipan fi, bayaran elaun dan kos ini sebenarnya telah dimulakan oleh Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil di peringkat Persekutuan sejak tahun 2000 lagi.

Y.A.A. Muhamad Abdul Karim Wahab.

“Sejak itu, beberapa negeri telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan kaedah yang seragam sepertimana yang disediakan oleh jawatankuasa berkaitan,” katanya semasa merasmikan majlis pelancaran Kaedah-Kaedah berkenaan dekat Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, Hasniah Hassan; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Mohd. Zawawi Nor; Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Tabiin Sahri serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Muhamad Abdul Karim memberitahu bahawa meskipun Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah tiga kali digubal namun kutipan fi yang masih berkuat kuasa adalah berdasarkan kaedah lama.

“Sebelum ini, kutipan fi yang dikenakan di Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang adalah berdasarkan The Penang Muslim Religious Affairs (Form dan Fees) Rules 1961).

“Kaedah ini sudah berusia 59 tahun dan tidak dapat memenuhi keperluan undang-undang semasa selain sudah tidak relevan dan tidak sesuai digunakan lagi.

“Sebagai contoh, kaedah sebelum ini tidak menyatakan dengan jelas tentang fi dan kos yang dikenakan ke atas dokumen-dokumen yang diguna pakai seperti kenyataan pembelaan, tuntutan balas, perakuan segera dan lain- lain lagi,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun Kaedah-kaedah baharu tersebut bakal melibatkan peningkatan bayaran fi namun kadar yang ditetapkan kepada pengguna adalah bersesuai dengan keadaan semasa.

“Jika kita rujuk dalam kaedah lama, masih terdapat bayaran pendaftaran kes sebanyak RM1.

“Oleh itu, Kaedah-Kaedah baharu yang diwartakan ini adalah seiring dengan keperluan semasa dan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.

Difahamkan, Pulau Pinang menjadi negeri kesembilan yang mewartakan Kaedah-Kaedah ini selepas Kelantan (2002), Melaka (2003), Johor (2004), Pahang (2005), Selangor (2006), Wilayah Persekutuan (2011), Terengganu (2015) dan Kedah (2018).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS