Pulau Pinang perkukuh ekosistem bakat teknologi, jalin kerjasama antarabangsa

Admin
tkm1105d

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh ekosistem pembangunan bakat teknologi berkemahiran tinggi menerusi kerjasama strategik dengan industri, institusi pendidikan serta rakan antarabangsa bagi memastikan anak tempatan mampu memenuhi keperluan sektor semikonduktor dan teknologi masa hadapan.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, usaha tersebut turut mendapat sokongan lebih 500 syarikat multinasional (MNC) dan 8,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam membangunkan laluan pembangunan bakat daripada peringkat sekolah hingga universiti.

“Pembangunan ekosistem berkenaan penting bagi melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, pereka cip dan pakar kecerdasan buatan (AI) tempatan untuk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi,” ujarnya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 5 November 2026.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat berkata, penganjuran AI Horizon pada 6 dan 7 Oktober lalu di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) berjaya menghimpunkan pakar, ahli akademik serta pempamer dari tujuh negara.

“Program tersebut turut melibatkan perwakilan daripada 120 syarikat dan institusi dari lebih 20 negara serta menarik puluhan ribu pengunjung,” katanya.

Dalam usaha mendedahkan generasi muda kepada bidang teknologi angkasa lepas, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersama Commonwealth of World Chinatown (CWC) turut menganjurkan Sesi Pelajar Penerokaan Angkasa Lepas yang melibatkan lebih 100 pelajar daripada empat sekolah menengah di negeri ini

Sementara itu, Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan memaklumkan bahawa Pulau Pinang turut memperluas jaringan antarabangsa menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan dan agensi teknologi dari India.

“Antara inisiatif tersebut termasuk pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Vellore Institute of Technology (VIT) serta kerjasama dengan ICT Academy of India bagi meneroka program pertukaran bakat dalam bidang AI dan Super Intelligence (SI).

“Negeri ini juga mengalu-alukan pembukaan pejabat baharu Neural Semiconductor dari Bangladesh di GBS@Mayang, yang merupakan lokasi pertama syarikat berkenaan di Malaysia,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi pertemuan bersama menterinya, Datuk Seri R. Ramanan di Putrajaya pada 27 Oktober lalu.

“Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk menyokong program-program STEM di Pulau Pinang, termasuk pengukuhan Technical Skill Learning (TSL), pengoptimuman dana HRD Corp bagi latihan kemahiran industri serta penyediaan program bersasar untuk pelajar daripada keluarga B40,” jelasnya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS