Pulau Pinang perlu lebih banyak PPR, 22 pemohon sudah tunggu 11 tahun untuk sewa di Taman Manggis – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan cadangan tanah awam kepada Kerajaan Pusat, serta meminta diperbanyak projek pemajuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa seramai 1,137 pemohon dalam senarai menunggu untuk menyewa PPR, dengan 737 pemohon daripadanya adalah dari Daerah Timur Laut.

Tambah beliau, seramai 494 pemohon dalam senarai menunggu untuk PPR Taman Manggis sahaja, sementara, 271 daripadanya menunggu dalam tempoh tujuh tahun manakala 22 lain dalam tempoh yang lebih panjang iaitu 10 hingga 11 tahun.

Mengambil kira senarai tunggu yang panjang, Jagdeep menyatakan bahawa langkah penguatkuasaan terpaksa diambil terhadap mereka yang hilang kelayakan untuk terus mendiami PPR Taman Manggis, demi memberi peluang menyewa kepada pemohon lain layak.

“Yang memang benar-benar susah, kita mesti bantu…tindakan akhir adalah kita akan usir mereka atas sebab tunggakan.

“836 kes kita telah pertimbangkan, daripada itu, tindakan atas sebab tunggakan ini kita ambil tindakan tidak lebih daripada 20 peratus, yang menunjukkan keprihatinan kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam sidang media di Komtar pada 5 Mac 2019.

ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi bersama-sama puluhan pemohon dalam senarai menunggu bagi PPR Taman Manggis turut sertai sidang media tersebut.

Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) memberitahu bahawa selain isu tunggakan, ada juga penyewa PPR hilang kelayakan kerana menyewa unit kediaman kepada pihak ketiga, pendapatan isi rumah keluarga melebih RM1,500 sebulan dan sebagainya.

Tambah beliau, 999 unit kediaman PPR yang ada di Pulau Pinang merupakan jumlah paling kecil berbanding negeri-negeri lain.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Jagdeep menjelaskan bahawa pemajuan PPR juga adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, bukan Kerajaan Negeri.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat hari ini, kerana dalam proses melaksanakan projek PPR di atas sebidang tanah berkeluasan 4 ekar dekat Jelutong, yang akan menyediakan ribuan unit kediaman untuk disewa dengan harga RM128 sebulan, kelak.

Dalam perkembangan lain, menurut Jagdeep, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Negara menyambut baik cadangan beliau agar Kerajaan Pusat melaksanakan skim sewa milik (rent-to-own) bagi rumah mampu milik kategori kos rendah sahaja.

Ulasnya, beliau turut mencadangkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya skim sewaan PPR disemak semula dengan menawarkan skim rent-to-own kepada rakyat yang layak.

Di Pulau Pinang, kata Jagdeep, Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan skim rent-to-own berkaitan bagi satu projek perumahan kos rendah di Parlimen Balik Pulau dan Kampung Permatang Tok Subuh, Parlimen Bukit Mertajam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD