Pulau Pinang perlu ‘lembaga’ kawal selia air sungai negeri, saran pakar NAHRIM

img 7293 Nasehir E.M. Yahaya (kiri) pernah membentangkan beberapa pelan solusi bagi menangani isu air mentah negeri pada masa hadapan, semasa kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri (kanan) di Komtar pada 5 September 2022.

KIRA-KIRA 30 lembangan sungai sepanjang 501 kilometer (km) yang terdapat dalam sempadan negeri Pulau Pinang, jika dituai menjadi air terawat, dikatakan mampu membekalkan sebanyak 6,546 juta liter sehari (MLD) serta jauh lebih banyak daripada 1,400 MLD yang diperlukan di negeri ini ketika ini.

img 7291
NASEHIR E.M. Yahaya

Mengulas lanjut, Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Prof. Dr. Ir. Nasehir E.M. Yahaya berkata rancangan merawat sumber air mentah dari lembangan sungai yang telah sedia berada dalam sempadan negeri Pulau Pinang itu juga dapat mengurangkan kebergantungan keterlaluan pada sumber air mentah dari Sungai Muda yang berhulu di Kedah, di samping berusaha merealisasikan idea asal iaitu Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) – kini dikenali sebagai Projek Air Perak – Pulau Pinang.

“Dari sudut geografi, semua lembangan sungai yang hulunya sama ada di negeri Kedah atau Perak, hilir sungai adalah di dalam sempadan Pulau Pinang.

“Contohnya jumlah air yang begitu banyak dalam lembangan Sungai Muda di Kedah, hilirnya adalah dalam sempadan negeri Pulau Pinang.

“Jumlah sungai yang direkodkan di negeri Pulau Pinang setakat ini ada 165 batang, ada lagi sungai lain tetapi belum dikira (direkodkan), dengan panjang keseluruhan kira-kira lebih 500 km.

“Ada 30 lembangan sungai di Pulau Pinang, contohnya di Seberang Perai ada Sungai Muda, Sungai Perai, Sungai Juru, Sungai Jawi dan Sungai Kerian yang semuanya menyumbang 3,000 hingga 4,000 MLD.

“Itu, tidak termasuk sungai kecil-kecil, ada lebih kurang 20 lembangan sungai yang mana lembangan terbesar adalah Sungai Pinang, ada kajian menunjukkan Sungai Pinang menyumbang lebih 1,200 MLD.

“Jadi, tidak boleh ambil mudah, perlu ada usaha yang keras untuk memastikan sumber air mentah di semua lembangan sungai negeri ini terus dipelihara dan dipulihara,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB pada 17 Januari 2024.

Dalam konteks negeri ini, beliau berpendapat bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) perlu kembali melaksanakan skop kerja hakikinya sebagai operator air, iaitu merawat air mentah dari lembangan sungai negeri mengikuti piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kemudian memastikan proses pengagihan air bersih dan berkualiti kepada pengguna termasuk di kawasan hujung paip agihan (EoL) terus diperbaiki lagi.

“Dalam konteks Pulau Pinang, PBAPP adalah operator air, sementara badan kawal selia air mentah telah wujud secara langsung di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ketika ini sebagai sebuah unit yang ‘kecil’.

“Sehubungan itu, Unit atau Bahagian Kawal Selia Air Pulau Pinang sepatutnya diberikan tenaga; perlu ada enakmen khusus yang memberi kuasa kepadanya untuk berperanan mengawal kualiti air mentah dari segi kuantiti dan kualiti di sempadan negeri ini,” jelasnya.

Tambah beliau, di Terengganu telah wujud Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), begitu juga Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Selangor.

“Semua negeri lain telah ada (lembaga yang disokong dengan enakmen khusus), cuma di Pulau Pinang agak ketinggalan sedikit dari segi ini.

“Unit atau Bahagian Kawal Selia Air Pulau Pinang ini sepatutnya diberikan ‘tenaga’; perlu ada enakmen khusus yang memberi kuasa kepadanya untuk berperanan mengawal kualiti air mentah dari segi kuantiti dan kualiti peringkat negeri,” jelasnya lagi sambil mencadangkan penubuhan Penang Water Authority (PENAWAR) lengkap dengan suatu enakmen baharu berkaitan.

Dengan penubuhan lembaga seperti ‘PENAWAR’ ini, beliau berkata PBAPP boleh menumpukan pada usaha mengukuhkan pelan jaminan keselamatan air negeri untuk tempoh 20 tahun akan datang, dari segi infrastruktur dan perkhidmatan berkenaan sumber berkualiti kepada pengguna.

“Jadi, PBAPP boleh bertanggungjawab untuk membekalkan air bersih sahaja, kerana ada lembaga lain dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia sumber air (mentah) di seluruh negeri ini,” jelasnya lagi.

Di sebalik penangguhan Perjanjian Air Perak – Pulau Pinang pada Januari lepas, beliau berkata Kerajaan Negeri Perak juga mungkin mula membincangkan pelan mengukuhkan keselamatan air untuk kepentingan ekonomi mereka yang kian berkembang; seperti yang diusahakan oleh Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang kini.

“Dari segi perundangan, tanah dan air ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tidak akan dilepaskan kepada Persekutuan

“Saya berpendapat air ini biarlah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, cuma Kerajaan Persekutuan ini memberikan bantuan kemudahan – termasuk dari segi kewangan – untuk meningkatkan kecekapan operator air seperti meningkatkan infrastruktur dan kualiti air (terawat).

“Dalam konteks Pulau Pinang, saya lihat adalah lebih baik Kerajaan Negeri serta operator airnya berdikari dengan memanfaatkan semua lembangan sungai yang kaya dengan sumber air mentah di negeri ini terlebih dahulu,” jelasnya lagi.

Bercerita lanjut, beliau berkata bandar raya Tokyo, Jepun umpamanya pihak berkuasa air di sana telah lama membina sistem kolam takungan bawah tanah untuk menahan limpahan air hujan serta risiko banjir, yang mana lambakan sumber tersebut kemudiaannya diproses serta dirawat menjadi air minum.

“Dari segi reka bentuk kejuruteraan, macam di Sungai Perai yang mempunyai sumber air mentah begitu banyak, ‘lembaga’ yang dipertanggungjawabkan untuk kawal selia air negeri ini perlu berusaha melaksanakan projek kolam-kolam takungan bersiri (di bawah tanah) di sepanjang sungai tersebut bagi menyimpan lebih banyak air mentah (untuk dirawat oleh PBAPP dari semasa ke semasa).

“Pada masa masa yang sama, ‘lembaga’ ini juga mesti secara proaktif menangani punca-punca pencemaran di hulu (lembangan sungai).

“Macam di Komtar atau kawasan-kawasan lain yang mempunyai kepadatan tinggi, sepatutnya diwujudkan kolam takungan yang besar di bawah tanah untuk memerangkap air hujan serta cegah banjir.

“Air yang dirawat PBAPP boleh digunakan untuk minum dan makan, sementara lambakan air hujan yang diperangkap dalam kolam takungan bawah tanah ini dapat dimanfaatkan untuk kemudahan di tandas dan sebagainya,” jelasnya lagi sambil berpendapat pelan tersebut menjimatkan kos dan sumber.

Mengakhiri bicarawara, beliau mengesyor Kerajaan Negeri serta kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan subsidi untuk mewujudkan sistem penuaian air hujan bagi kawasan-kawasan perumahan baharu.

“Dengan wujudkan insentif sebegini, pada masa hadapan, kalau pengguna nak menyiram pokok bunga atau membasuh kereta atau menggunakan tangki simbah tandas pun tidak perlu menggunakan air yang dirawat oleh PBAPP, sebab boleh guna lambakan air hujan ini.

“Penggunaan air terawat ini dapat dihadkan untuk minum, makan dan mandi sahaja; dapat kurangkan bil air serta kurangkan risiko limpahan air sungai dan banjir.

“Penggunaan limpahan air hujan sebagai kegunaan domestik ini, sebenarnya kita masih ‘di belakang’ sungguhpun kajian berkaitan yang dibuat adalah pada tahap tinggi,” jelasnya sambil memberitahu polisi ini akan mengurangkan lagi kos utiliti sekalian pengguna.

END