GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.8 juta bagi memperkukuh pembangunan dan pemerkasaan belia menerusi Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) pada tahun 2027.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, RM1.5 juta disalurkan kepada PYDC, manakala RM1.3 juta diperuntukkan kepada JBPP bagi memperkukuh peranan kedua-dua organisasi sebagai rakan strategik kerajaan dalam membangunkan potensi generasi muda.
“Kini, JBPP mempunyai seramai 384 ahli yang ditempatkan di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), di samping penglibatan seramai 10,976 sukarelawan belia yang turut berperanan aktif dalam menjayakan agenda pembangunan belia negeri.
“Bagi memperkukuh pembangunan dan kecemerlangan sukan negeri pula, khususnya bagi pembangunan atlet, sebanyak RM7.15 juta akan diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), manakala RM5 juta disediakan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) bagi menaik taraf serta menambah baik kemudahan dan infrastruktur sukan negeri,” ujarnya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 di DUN Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Tambah beliau, memasuki tahun 2027, Pulau Pinang bakal memainkan peranan penting sebagai salah satu daripada empat (4) kluster penganjuran Sukan SEA 2027, bersama Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, yang dijadualkan berlangsung pada September 2027.
“Enam (6) acara sukan yang akan dipertandingkan di Pulau Pinang adalah sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong serta floorball.
“Bagi menjayakan penganjuran tersebut, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta yang disalurkan secara berperingkat kepada MSNPP pada tahun 2026 dan 2027.
“Persiapan bagi Kluster Pulau Pinang kini telah mencapai tahap kesiapsiagaan 90 peratus melibatkan kemudahan dan lokasi pertandingan, termasuk SPICE Arena dan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC),” jelasnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.
Serentak dengan itu, kesihatan turut diberi perhatian dalam usaha meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan rakyat.
Kon Yeow memberitahu bahawa antara projek Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap pada tahun 2027 adalah pembinaan Blok Baharu Pusat Perkhidmatan Stem Sel, Hospital Pulau Pinang (HPP) bernilai RM32.29 juta yang dijadualkan siap pada 26 Ogos 2027, serta pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak HPP bernilai RM247.65 juta yang dijangka siap pada 3 September 2027.
“Bagi melengkapi usaha tersebut, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM213,000 kepada Jawatankuasa MMK Kesihatan pada tahun 2027 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif kesihatan, termasuk yang dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), demi meningkatkan kesejahteraan dan tahap kesihatan rakyat Pulau Pinang,” tambahnya selaku Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Pada pembentangan tersebut, Kon Yeow turut menyentuh mengenai pendigitalan dan keusahawanan.
Bagi menyokong sektor itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta pada 2027 bagi memperkukuh agenda pendigitalan menerusi Digital Penang dan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang (DEMP) 2025–2030.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa agenda transformasi digital turut dipacu melalui Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang atau Penang Digital Economy Master Plan (DEMP) 2025 hingga 2030 yang mana sejak penubuhannya, kira-kira 8,646 perusahaan mikro, kecil dan sederhana atau PMKS telah menerima manfaat daripada pelbagai program pembangunan kapasiti Digital Penang.
“Sehingga suku ketiga tahun ini, sebanyak 330 syarikat pemula telah direkodkan dengan anggaran hasil sekitar RM118 juta, di samping menyumbang kira-kira 1,720 peluang pekerjaan.
“Tumpuan akan diberikan kepada inkubasi syarikat pemula teknologi, pembangunan produk hardtech, akses pasaran, pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta penerapan kecerdasan buatan dan teknologi baharu.
“Program DahDigital, MyKADUN dan adaptasi teknologi dalam kalangan agensi negeri serta syarikat berkaitan Kerajaan juga akan terus diperkukuh.
“Dari aspek kesalinghubungan, liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus sehingga Oktober 2026, manakala liputan 5G berada pada 91.9 peratus.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh infrastruktur dan ekosistem digital agar kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan secara meluas oleh semua pihak,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS