Belanjawan 2027: Lonjakan hasil cukai tanah pacu pembangunan PTFC, Pulau Silikon

Admin
33f85be3 502b 4951 b72d 5d6e04d851d1

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh apabila kutipan hasil cukai tanah negeri melonjak sebanyak 44.41 peratus atau RM51.54 juta, mencecah RM167.59 juta setakat 29 Oktober lalu berbanding RM116.05 juta pada tahun 2025.

Semasa membentangkan Belanjawan 2027 Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peningkatan itu dicapai susulan pelaksanaan semakan semula cukai tanah di seluruh negeri pada tahun 2026, iaitu semakan yang dibuat selepas 32 tahun.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa kutipan hasil negeri secara keseluruhan bagi tempoh Januari hingga 30 Oktober 2026 telah mencecah RM847.53 juta (79.35 peratus daripada anggaran tahunan), dengan baki Akaun Hasil Disatukan (AHD) berjumlah RM651.28 juta.

Menurut beliau, peningkatan hasil ini kekal positif biarpun Kerajaan Negeri memberikan rebat cukai tanah 50 peratus serta meluluskan pengurangan cukai bernilai hampir RM35.7 juta.

“Bagi tahun 2027, Kerajaan Negeri bersetuju mengekalkan pemberian rebat cukai tanah sebanyak 50 peratus, tertakluk kepada syarat-syarat yang berkaitan,” jelasnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Oktober 2026.

Mengulas lanjut mengenai pemilikan tanah, Kon Yeow menyatakan sebanyak 578 permohonan pelanjutan tempoh pajakan (EOL) tanah kediaman telah diluluskan sejak 2025 di pelbagai penempatan seperti Perkampungan Valdor, Juru, Permatang Tinggi, dan Gelugor, sekali gus membolehkan pemilik menikmati hak pemilikan sehingga 99 tahun.

Prestasi Hasil Lonjak Pembangunan PTFC

Mengulas hala tuju ekonomi negeri, Kon Yeow menegaskan bahawa lonjakan hasil kewangan ini bakal menyokong penubuhan Pusat Kewangan Teknologi Negara (PTFC) bagi mencetuskan peluang kerjaya berkualiti serta meningkatkan pendapatan rakyat.

Bagi memacu inisiatif ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menerusi Khazanah Nasional dan InvestPenang menyediakan peruntukan strategik RM100 juta untuk membawa syarikat semikonduktor serta pembuatan termaju tempatan ke peringkat global.

Tambah beliau, Pelan Strategik dan Pelan Tindakan PTFC dijangka dikemukakan menjelang November 2026 selepas penyerahan Kertas Putih pada September lalu.

Bagi menyokong ekosistem tenaga kerja mahir di kawasan perindustrian, Kerajaan Negeri turut mengutamakannya menerusi projek perumahan mampu milik dan sewaan seperti Rumah Bakat MADANI di Bandar Cassia, Batu Kawan serta Lorong Tenggiri, Seberang Jaya.

Pulau Silikon & LRT Laluan Mutiara Jadi Tumpuan Mega

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pembangunan projek mega Pulau Silikon terus menjadi keutamaan dalam menyediakan infrastruktur industri bernilai tinggi.

Menurutnya, setakat Oktober 2026, sebanyak 500 ekar tanah atau 39.4 peratus daripada Fasa 1 (1,270 ekar) telah berjaya ditambak, termasuk tapak seluas 64.85 ekar disediakan khusus bagi pembinaan Depoh Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

“Menjelang 2027, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan Green Tech Park seluas 700 ekar yang berteraskan prinsip ESG, dengan penjualan plot perindustrian pertama dijangka bermula pada suku pertama 2027.

“Kilang pertama di kawasan tersebut dijangka beroperasi menjelang 2028 bagi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Projek tersebut, menurutnya, turut memberi impak ekonomi langsung kepada komuniti perniagaan tempatan apabila sebanyak 4,531 kontrak bernilai RM1.92 bilion telah dianugerahkan kepada kontraktor tempatan setakat September 2026.

Bagi memperkukuh jaringan kesalinghubungan ke kawasan pembangunan baharu ini, menurutnya lagi, projek LRT Laluan Mutiara jajaran KOMTAR ke Pulau Silikon (23.7 km) di bawah Pakej CMC1 kini telah mencatatkan kemajuan fizikal 15.5 peratus setakat September 2026.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SIEW CHIA EN

Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI