Pulau Pinang sambut baik usaha SlimHaus bina rumah guna teknologi IBS

Admin

BATU MAUNG – Dengan menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS), firma pemaju hartanah SlimHaus Technology Sdn. Bhd. bakal membina dua jenis rumah teres tiga tingkat iaitu masing-masing berkeluasan 800 kaki persegi dan 1,500 kali persegi di atas sebidang tanah seluas 7.2 ekar di Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau.

Berucap pada majlis pelancaran dwi projek rumah mampu milik (RMM) tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya berharap lebih banyak lagi syarikat pemaju hartanah berani merebut peluang menceburkan diri dalam teknologi IBS, sebagaimana SlimHaus demi membekalkan RMM ‘rendah risiko’ di negeri ini.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri menyambut baik usaha serta inisiatif dimainkan oleh Slimhaus Technology Sdn. Bhd. yang bukan sahaja telah menyediakan platform terbaik dalam merevolusikan industri pembinaan, malah turut memberi nilai tambah dan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk memiliki rumah idaman berkualiti,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Majlis Pelancaran Rumah Contoh RMM Dengan Teknologi IBS di sini pada 8 Mei 2021.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat serta Pengarah SlimHaus, Gerald Chin turut berucap pada majlis tersebut. Hadir sama, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halil Hussain dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Difahamkan, teknologi IBS merupakan evolusi dan masa depan industri pembinaan di negara ini, bermula sejak tahun 1966. Dengan menggunakan fabrikasi konkrit ‘pre-cast’, negara-negara maju seperti Jepun, Korea, China dan rantau Eropah telah mengalami kemajuan teknologi IBS yang pesat berbanding Malaysia.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa tanpa teknologi IBS, bangunan-bangunan yang paling tinggi di dunia tidak mungkin berjaya dibina.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Jagdeep memberitahu bahawa semua RMM yang dibina di Pulau Pinang akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk ditawarkan kepada rakyat yang layak demi mengelakkan pembelian spekulatif dalam sektor hartanah.

“Sepertimana yang saya katakan unit perumahan di bawah harga RM300,000 adalah di bawah kawalan Kerajaan Negeri,” ulasnya.

Dalam pada itu, Gerald pula menyatakan bahawa terdapat dua jenis kediaman yang bakal dibina oleh SlimHaus dekat Balik Pulau dan ditawar pada harga jualan antara RM250,000 serta RM395,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING