Pulau Pinang sasar 3 emas di temasya Sukan Orang Pekak Malaysia

SOON Lip Chee (berbaju putih) memberikan isyarat semangat kepada para atlet SOPMA yang bertanding dari 15 hingga 20 Oktober ini di Ipoh.

TANJUNG BUNGA – Tiga pingat emas disasarkan oleh kontinjen Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran pada Sukan Orang Pekak Malaysia atau SOPMA yang bermula pada 15 hingga 20 Oktober ini di Ipoh, Perak.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee ketika mengumumkannya berkata, selain kutipan pingat emas, kontinjen negeri turut menyasarkan tiga pingat perak dan empat gangsa dalam temasya yang diadakan dua tahun sekali itu.

Seramai 54 atlet dari Pulau Pinang akan bertanding untuk acara futsal, tenpin boling, olahraga dan badminton.

Mengimbas pencapaian pada SOPMA 2016 yang berlangsung di Sarawak, kontinjen Pulau Pnang berjaya membawa pulang dua butir pingat emas, dua pingat perak dan satu gangsa.

Bagi SOPMA 2018, sasaran kita adalah untuk meraih tiga butir pingat emas melalui acara olahraga, tiga butir pingat perak (olahraga dan tenpin boling) dan empat butir pingat gangsa (olahraga dan futsal).

Saya menyeru para atlet supaya sentiasa fokus terhadap matlamat kejayaan yang telah disasarkan. Sekiranya kita sentiasa fokus kepada kejayaan, berfikir secara positif, mempunyai keyakinan yang tinggi dan tidak bersikap sambil lewa, kejayaan akan menjadi milik kita,” ujar Lip Chee ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pulau Pinang ke Temasya SOPMA kali ke- 20 di  Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Tanjung Bunga baru-baru ini.

Hadir sama, Pengetua Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Eshamuddin Abd. Rahim dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang (PSDeaf), Artika Suraya Ayub.

Tambah Lip Chee lagi, kejayaan yang diharap bukan sekadar peringkat SOPMA semata-mata bahkan beliau berharap para atlet SOPMA Pulau Pinang mampu menggalas cabaran lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Sukan Asean Orang Pekak di Bangkok yang akan berlangsung pada 2 hingga 11 Disember 2018, Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan Sukan Olimpik Orang Pekak.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI