Pulau Pinang sasar pertumbuhan produktiviti 5.5% dalam tempoh lima tahun

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mensasarkan lonjakan produktiviti 5.5 peratus yang berpotensi untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM28 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang. 

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar memberitahu bahawa bagi merealisasikan sasaran tersebut, pihaknya akan bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk membangunkan program peningkatan produktiviti secara bersasar melalui analisis setiap sektor ekonomi di Pulau Pinang. 

 

“Dalam masa sama, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) juga akan memberikan sokongan penuh dalam mengukuhkan persekitaran perniagaan dengan memudahkan dan merancakkan aktiviti perniagaan ke arah Revolusi Industri 4.0,” ujarnya sambil berikrar untuk memberikan komitmen yang tinggi sejajar dengan Visi Penang2030 : Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. 

 

ABDUL Razak Jaafar (tengah) bersama-sama Abdul Latif Abu Seman (dua dari kiri) dan kepimpinan Kerajaan Negeri merakam gambar kenangan sejurus menerima Anugerah ‘Productivity Champion’ di sini.

 

Terdahulu, Abdul Razak membuat kenyataan demikian sejurus menerima Anugerah ‘Productivity Champion’ daripada Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar, pada 23 April 2021. 

 

Menurut Abdul Latif, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada individu atas komitmen dan sumbangan dalam meningkatkan produktiviti pada peringkat negeri dan negara. 

 

“Anugerah ‘Productivity Champion’ adalah sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasa Yang Berbahagia Dato’ Abdul Razak kerana menjadi peneraju utama dalam usaha untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti negeri Pulau Pinang ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus membawa kemakmuran kepada rakyat di negeri ini,” katanya melalui kenyataan media bertarikh 23 April 2021. 

 

ABDUL Latif Abu Seman (kiri) menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Razak Jaafar atas penganugerahan tersebut.

 

Anugerah sama turut diberikan kepada Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dalam majlis berasingan di Menara Bandaraya, Bandar Perda.

 

MPC merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Visi utama MPC adalah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI