Pulau Pinang sasar sediakan 220,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini meletakkan sasaran baharu untuk menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk menyediakan 180,000 unit rumah mampu milik seperti yang terkandung dalam visi Penang2030.

 

“Namun, dua minggu lalu saya telah mengemukakan cadangan dalam mesyuarat Exco untuk menambah 20 peratus lagi atau 40,000 unit rumah mampu milik dan ia dipersetujui memandangkan terdapat permintaan khasnya daripada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

“(Dan) menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk menyediakan bekalan rumah mampu milik pelbagai jenis untuk rakyat di negeri ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 5 Oktober 2020.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

 

Menurut Jagdeep, setakat hari ini sejumlah 106,742 unit rumah mampu milik tersedia pada pelbagai peringkat.

 

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34,388 unit telah siap dibina; 20,180 unit sedang dibina dan 52,174 unit telah diluluskan pembinaannya.

 

“(Dan) daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 26,616 unit adalah rumah mampu milik (RMM) Jenis A; 26,995 (Jenis B) dan 53,131 (Jenis C) dengan harga masing-masing ditawarkan pada RM42,000; RM72,500 dan bawah RM300,000.

 

“Pertambahan 20 peratus itu juga akan merangkumi harga dari RM42,000 sehingga RM300,000,” katanya.

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan senarai unit-unit rumah mampu milik yang telah, sedang dan diluluskan pembinaannya kepada pemberita pada sidang media di sini.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) memaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut telah meluluskan sejumlah 54,138 permohonan rumah.

 

“Sejak ditubuhkan pada 2013, jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak 58 kali yang mana kesemua ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen (MP) dan Bahagian Perumahan.

 

“Daripada 54,138 permohonan yang telah diluluskan, sejumlah 25,913 permohonan adalah untuk RMM Jenis A; 10,930 (RMM Jenis B), 16,683 (RMM Jenis C) dan Skim Sewa Beli (RTO) sebanyak 612 unit.

 

“Hanya pemohon yang betul-betul layak sahaja akan diberikan unit rumah mampu milik dan jawatankuasa ini akan terus menyaring dan memperakukan senarai menunggu sehingga tiada lagi senarai menunggu dilaporkan,” maklumnya.

 

Bercakap mengenai senarai menunggu, Jagdeep memberitahu bahawa sebelum ini terdapat senarai pemohon sejak 1976.

 

“Bagi memastikan keberkesanan jawatankuasa ini, suka saya maklumkan bahawa tiada lagi senarai menunggu bagi RMM Jenis A di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bagi kuota semua kaum.

 

“Manakala bagi daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU), tiada lagi senarai menunggu bagi kuota kaum Cina dan India.

 

“Bagi RMM Jenis B pula, dearah Barat Daya dan SPU dilaporkan tiada lagi senarai menunggu bagi kuota kaum Cina dan India.

 

“(Dan) bagi RMM Jenis C, semua daerah dilaporkan tawaran diberikan mengikut projek yang dipohon oleh pemohon sendiri.

 

“Memandangkan sudah ada lokasi yang tiada lagi senarai menunggu, maka penawaran rumah adalah bergantung kepada penawaran dan permintaan semasa.

 

“Bagi daerah Timur Laut, permintaan sangat tinggi namun penawaran amat sedikit ekoran lokasi yang padat dan tanah yang terhad untuk dibangunkan.

 

“Malah, kita mempunyai lebihan unit di daerah lain dan dicadangkan untuk membuka senarai menunggu di daerah yang didapati tidak mempunyai senarai menunggu dan mempunyai lebihan unit,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN