Pulau Pinang tawar diskaun sewaan 50% untuk usahawan IKS tempatan

Admin

GEORGE TOWN – Dalam memastikan kelangsungan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif dengan menawarkan diskaun sewaan sebanyak 50 peratus kepada golongan usahawan tempatan.

Diskaun 50 peratus itu akan ditawarkan kepada usahawan IKS tempatan bagi sewaan fasiliti di Penang SME Centre dekat Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas untuk enam bulan pertama dengan syarat tempoh sewaan dipersetujui antara 1 Januari 2018 sehingga 30 Jun 2018.

Mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkannya memaklumkan bahawa inisiatif berkaitan hanya terhad kepada usahawan IKS tempatan sahaja, dan mereka yang layak dikehendaki menandatangani perjanjian sewaan untuk tiga tahun.

“Ia merupakan tawaran yang sangat menarik dengan mengambil kira bahawa kadar sewaan di Penang SME Centre telah disubsidikan dan bangunan tersebut dilengkapi dengan fasiliti bertaraf antarabangsa.

“Jadi, Kerajaan Negeri amat menggalakkan mereka (usahawan IKS tempatan) yang layak dan syarikat berminat boleh mengambil peluang ini untuk membangunkan atau mengembangkan lagi operasi mereka di negeri ini.

“(Dan) tahniah kepada syarikat Togun (Togun Malaysia Sdn. Bhd.) dan Lleap (Lleap Sdn. Bhd.) yang menjadi perintis menerima insentif ini,” ujarnya pada majlis menandatangani penyertaan sewaan antara PDC dan dua syarikat berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah investPenang, Datuk Seri Lee Kah Choon; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Rosli Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Togun, Tan Chee Yew dan Pengasas Bersama Lleap, M. Kumaravel.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menawarkan lain-lain insentif khas dan antara yang terbaik dalam negara khusus untuk memperkasakan IKS di negeri ini.

“Antaranya, penubuhan Pusat SMART (SME Market, Advisory, Resource and Training Centre), dana RM26 juta kepada Pusat-pusat SME dalam negeri dan menyediakan tanah seluas 150 ekar untuk pembangunan SME Village di Batu Kawan.

“Saya yakin, agensiagensi negeri seperti investPenang dan PDC akan terus memainkan peranan untuk membantu dan menyediakan kemudahan kepada usahawan IKS serta industri yang menjadi ‘tulang belakang’ Pulau Pinang.

“(Dan) kedua-dua syarikat perintis (Togun dan Lleap) dijangka akan menyumbang kirakira RM6 juta nilai pelaburan bersama serta menawarkan 45 peluang pekerjaan,” katanya. Togun Malaysia Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang menghasilkan air minuman berhidrogen, manakala Lleap Sdn. Bhd. pula adalah syarikat IT yang menawarkan sistem e-post untuk jumlah dokumen tunggal besar