Pulau Pinang terima 200,000 vaksin tambahan bermula esok

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal menerima sebanyak 200,000 dos vaksin tambahan bermula esok (3 September 2021) sebagaimana diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) minggu lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 1,015,500 dos vaksin yang akan diterima oleh Kerajaan Negeri bagi bulan September.

“Dengan kelulusan KKM tersebut, ia tidak bermaksud bahawa kita menolak tawaran pinjaman vaksin daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Sebaliknya, pada sesi kunjungan hormat Menteri Besar Selangor terhadap saya pada 31 Ogos lalu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa tawaran tersebut masih terbuka dan perbincangan akan terus dijalankan berasaskan keperluan semasa pada masa hadapan,” ujarnya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri komited dalam melindungi dan memastikan seluruh rakyat negeri ini khususnya populasi dewasa memperoleh suntikan imunisasi demi mencapai imuniti kelompok.

“Keseimbangan antara kesihatan, ekonomi dan sosial adalah perlu dicapai demi kesejahteraan negeri Pulau Pinang yang tercinta secara menyeluruh,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sehingga 21 Ogos lalu, sebanyak 32 kes COVID-19 membabitkan varian Delta telah dikesan di negeri ini dengan lapan kematian direkodkan.

“Daripada jumlah itu, semua pesakit iaitu seramai 24 orang pesakit telah selesai menjalani rawatan dan dibenarkan pulang,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Tambah Kon Yeow, keputusan makmal bagi kes varian Delta memerlukan tempoh masa yang agak panjang iaitu hampir satu bulan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menghantar sampel-sampel ini antara minggu epid ke-27 (4 Julai -10 Julai) hingga minggu epid ke-33 (15 Ogos – 21 Ogos) dan keputusan sampel hanya diterima pada 31 Ogos lalu.

“Justeru, sebagai pemantauan lanjut, JKNPP terus menghantar sampel-sampel mengikut kriteria ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengawal perebakan varian Delta di negeri ini,” ulasnya.

Kon Yew memberitahu bahawa sebahagian besar daripada jumlah pesakit yang dijangkiti varian Delta adalah dalam kalangan mereka yang belum menerima sebarang suntikan vaksin.

“Seramai 27 pesakit yang dijangkiti tidak menerima sebarang suntikan vaksin manakala lima lagi hanya mendapat satu dos dan tiada kes dilaporkan terhadap mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin.

“Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya leka serta lalai terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan diri, keluarga dan komuniti kita,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sebanyak 500 set kit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) akan diperuntukkan kepada setiap ADUN dan Ahli Parlimen untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan di negeri ini.

“Pemberian ini adalah bagi permulaan dan kaedah pengedaran akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN